SHAH ALAM - Gantung atau batal lesen selain hukuman penjara dan denda boleh dikenakan terhadap petualang yang didapati mencampurkan beras import dan beras putih tempatan.
Felo Penyelidik, Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD) Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Bakri Mat berpandangan, hukuman setimpal boleh dikenakan sehingga dipenjarakan bagi membanteras kegiatan terbabit.
Menurutnya, hukuman penjara selain denda lebih tinggi dan penarikan lesen perniagaan perlu dilaksanakan bagi memastikan pemain industri mengambil serius peraturan yang dikuatkuasakan.
"Isu ini boleh dilihat dalam beberapa sudut sama ada manipulasi bekalan beras bersubsidi, pemalsuan atau penyataan mengelirukan dan unsur penipuan selain perbuatan jenayah.
Dalam pada itu, Bakri berkata, pihak yang terlibat juga boleh disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 kerana maklumat palsu mengenai sumber dan kualiti beras kepada pengguna.
"Saya menyokong tindakan memperkenalkan denda yang lebih tinggi terhadap pengilang atau peniaga yang terlibat, agar mereka sedar bahawa kesalahan sebegini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Dalam pada itu, Bakri berkata, dalam aspek kawalan harga dan pengedaran, Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 memainkan peranan penting dalam memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga beras secara tidak wajar melalui manipulasi bekalan.
"Bagaimanapun, saya percaya pihak yang wajib lebih arif tentang perkara ini, khususnya agensi-agensi kerajaan yang berkait dengan aktiviti pemantauan, penguatkuasaan dan perundangan,” katanya.
Dalam isu sama, beliau berkata, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 boleh digunakan kerana memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mengawal industri padi dan beras, termasuk pengeluaran, pemprosesan, dan pengedaran.
"Jika akta ini dikuatkuasakan lebih ketat, pihak yang bertanggungjawab terhadap ketirisan beras bersubsidi boleh dikenakan tindakan, dan ini akan membantu mengembalikan ketelusan dalam industri beras negara,” katanya.