ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan berdiam diri terhadap pihak yang merancang mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi membantah cadangan kerajaan memperkenalkan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Menurut Anwar, Rang Undang-Undang (RUU) itu bukan satu bentuk pengkhianatan kepada orang Melayu, sebaliknya bertujuan untuk membela mereka dengan menyediakan kehidupan lebih selesa dan terjamin di kawasan bandar.
"Dia kata habislah Melayu, itu menipu. Flat Seri Perlis umpamanya dibina pada tahun 60-an, sudah 50 tahun usia, keadaannya usang, satu bilik sahaja dan yang duduk di situ adalah golongan paling miskin.
"Saya Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, takkan saya biarkan keadaan ini berterusan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Kedah 2025, di sini pada Khamis.
Tegasnya, jika tanpa pindaan undang-undang, sebarang usaha pembangunan semula tidak dapat dilaksanakan.
"Nak bangunkan macam mana? Kena pinda undang-undang. Kalau tanah itu rizab Melayu, ia kekal rizab Melayu. Kalau milik kerajaan negeri, ia kekal. Kalau berstatus strata, statusnya tidak akan berubah,” jelasnya.
Anwar turut membidas pihak yang terpengaruh dengan dakyah kononnya hak Melayu akan terancam jika URA dilaksanakan.
"Oleh kerana kita tidak memahami isu sebenar, kita mudah terpengaruh dengan pelbagai dakwaan sehingga ada yang mahu mengadakan perhimpunan besar-besaran mempertahankan hak Melayu.
"Hak Melayu yang mana? Kamu mahu paksa orang Melayu di bandar terus miskin dan papa kedana?” Soalnya.
Anwar juga menegaskan bahawa kerajaan hanya mahu menggunakan kuasa yang ada untuk membina rumah lebih selesa kepada rakyat.
"Rumah itu tiga bilik, dua bilik air, kamu kata kami khianat. Kamu mahu Melayu merempat seperti dahulu? Saya tidak peduli.
"Kalau mereka tetap mahu buat perhimpunan, saya sendiri akan turun ke pusat bandar untuk menentang mereka secara terang-terangan,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut membidas pihak yang tidak mengambil tindakan sewaktu berkuasa tetapi kini cuba memainkan isu pembelaan rakyat.
"Kalau niat kita nak rampas tanah untuk diberikan kepada anak bini saya, itu memang kita tentang habis-habisan. Tapi pesawah padi dah lama tak terbela, saya minta Tan Sri Syed Mokhtar (Albukhary) percepatkan bantuan kepada mereka. Saya kenal ke pesawah ini? Tak kenal.
"Tetapi adakah mereka penyokong Pakatan Harapan (PH) dan UMNO? Saya tak tahu. Semasa Bersatu dan Pas memerintah selama 33 bulan, ada mereka bagi bantuan terus kepada pesawah?” soalnya.
Pada Rabu, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri dalam kenyataannya mengumumkan bahawa pihaknya merancang mengadakan himpunan besar-besaran bagi membantah cadangan kerajaan tersebut.
Menurutnya, Pemuda Pas akan terus berjuang bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan suara rakyat didengar dan dipertahankan.