KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi mencegah penjualan atau pemindahan tapak bazar Ramadan kepada pihak ketiga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang didapati menjual lesen tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri.
Jelasnya, orang awam digalakkan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang maklumat mengenai penjualan tapak bazar Ramadan atau Aidilfitri secara haram.
"Laporan boleh dikemukakan sama ada kepada pihak kami, DBKL atau polis bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan.
"DBKL juga mempunyai pasukan KL Strike Force yang beroperasi dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan pemantauan dan tindakan yang lebih berkesan," tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena sesi Media Briefing Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri Wilayah Persekutuan di sebuah hotel di ibu negara pada Rabu.
Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Dr Zaliha menambah, pasukan itu juga bertanggungjawab dalam penguatkuasaan peraturan serta mengekang sebarang aktiviti tidak sah yang boleh menjejaskan kelancaran bazar Ramadan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, DBKL menugaskan seramai 613 kakitangan dari pelbagai jabatan untuk memastikan keselamatan dan kelancaran operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, petugas-petugas terbabit terdiri daripada anggota Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan.
"Mereka bertanggungjawab memantau pematuhan peraturan oleh peniaga, memastikan kebersihan persekitaran dan mengawal aliran trafik di sekitar kawasan bazar.
"Langkah ini diambil bagi memastikan pengunjung dapat menikmati suasana bazar yang selesa dan selamat sepanjang bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri," ujarnya.
Terdahulu, DBKL menetapkan sebanyak 40 lokasi bazar Ramadan dan dua lokasi bazar Aidilfitri di sekitar Kuala Lumpur untuk tahun 2025.
Bazar-bazar ini melibatkan lebih daripada 3,567 petak niaga yang akan menampung ribuan peniaga dan pengunjung sepanjang bulan Ramadan.
Antara lokasi utama bazar Ramadan termasuk Jalan Masjid India, Taman Tasik Permaisuri, Taman Connaught, Kampung Baru, dan AU2 Keramat.