KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat permohonan moratorium mengenai pelaksanaan waktu bekerja jururawat 45 jam seminggu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Dalam hal ini, JPA telah meluluskan tempoh interim selama tiga bulan mulai 1 Disember 2024 hingga 28 Februari depan bagi membuat persediaan ke arah pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam di KKM.
"KKM akan memohon agar diberikan moratorium kepada pelaksanaan waktu bekerja 45 jam ini," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KKM di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor memaklumkan, sepanjang tempoh interim, KKM telah melaksanakan sesi libat urus dan sesi dialog awam mengikut zon di seluruh negara.
Antara hasil dapatan sesi libat urus dan sesi dialog awam katanya, KKM memerhatikan keperluan membantu penyelia dalam membuat penyusunan dan penyelarasan jadual waktu bekerja syif 45 jam.
Selain itu jelasnya, turut dibincangkan isu di lapangan meliputi kebajikan anggota kesihatan dalam waktu bekerja syif serta meneliti cadangan penambahbaikan bagi memperkukuhkan pelaksanaan tadbir urus waktu bekerja syif di fasiliti KKM sebelum diangkat untuk pertimbangan JPA.
"Saya juga telah mengadakan sesi libat urus bersama kesatuan sekerja pada 20 Februari 2025 lalu susulan libat urus berkenaan untuk mendapatkan pandangan menyeluruh serta penyelesaian tuntas berhubung pelaksanaan waktu bekerja syif.
"Saya mahu melakukan rundingan dengan JPA, apakah erti 42 jam campur 3 jam itu, yang menjadi keluh kesah tenaga kerja kami supaya tidak menambah lagi beban tugas mereka," jelasnya.
Mengenai kekurangan jururawat, Dr Dzulkefly memaklumkan, KKM akan melaksanakan pengambilan seramai 3,228 jururawat tahun ini daripada graduan Diploma Kejururawatan keluaran institusi pendidikan dalam negara bagi tujuan mengisi perjawatan tetap di kementerian.
"Antara tahun 2020 hingga 2024, KKM telah membuat pengambilan seramai 19,934 jururawat lantikan tetap dan kontrak.
"Dengan pengambilan jururawat tambahan ini kelak, diharapkan dapat menangani keluh kesah tentang kekurangan di seluruh negara termasuk di Hospital Jerantut," ujarnya.