Sultan Nazrin tegur tindakan salah guna masjid surau sebar fitnah, kepentingan politik

Iklan
Sultan Nazrin bertitah merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh pada Selasa.

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur mereka yang menyalahguna masjid dan surau bai menyebarkan dakyah berbaur fitnah serta kepentingan politik kepartian.

Baginda bertitah, kebelakangan ini semakin diperlihatkan perjalanan tempang dalam kalangan mereka yang merasakan diri telah bertaraf ilmuwan atau ulama, semakin kedengaran suara-suara yang menyampaikan dakyah songsang.

Iklan
Iklan

Menurut baginda, tazkirah, kuliah dan diskusi agama juga semakin bertukar kandungan dengan selitan bahan-bahan cercaan dan fitnah, berkecenderungan memihak atau menentang kabilah politik tertentu.

"Beta disembah maklumkan sudah ada khatib yang memilih tidak mahu membaca teks khutbah disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang diperakukan oleh Jabatan Mufti.

Iklan

"Perbuatan sebegini sudah keterlaluan dan sama sekali tidak boleh didiamkan," titah baginda ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Selasa.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Iklan
Sultan Nazrin berangkat tiba merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh pada Selasa.

Muzakarah bertemakan ‘Pemerkasaan Integrasi Antara Fiqh dengan Tasawuf’ itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Sultan Nazrin menegaskan, berdiam diri terhadap perbuatan keterlaluan sebegitu laksana membiarkan barah menular lebih luas yang bakal menimbulkan perpecahan dalam kalangan ummah.

Oleh itu, baginda menitahkan pemantauan rapi perlu dilakukan terhadap pihak yang berselindung di sebalik jubah agama, tetapi menyebarkan fahaman yang boleh merosakkan keharmonian umat Islam.

"Masjid dan surau wajib dibersihkan daripada kegiatan-kegiatan orang yang tempang menyebarkan dakyah songsang.

"Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti perlu bekerjasama dengan Orang Besar Jajahan, jawatankuasa masjid serta ahli kariah untuk mengenal pasti pihak-pihak yang berselindung di sebalik jubah agama, berjalan tempang dan berperangai songsang," titah baginda.

Dalam ucapan sama, Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa mereka yang diberikan tauliah untuk berkhutbah dan mengajar di masjid atau surau adalah mereka yang diperkenankan oleh Raja Pemerintah setelah disembah nasihat Jabatan Mufti yang berpuas hati dengan sifat, watak dan ilmu pengetahuan.

Justeru kata baginda, mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan amanah, dilapor melanggar adab bekerja, hendaklah disiasat secara adil dan saksama oleh pihak berkuasa, sebelum tindakan sewajarnya diambil.

"Penemuan dan apa juga ketetapan yang diputuskan oleh pihak berkuasa kepada mana-mana pihak yang terlibat, setelah selesai melalui proses rayuan, hendaklah diangkat sembah laporannya berserta perakuan untuk pertimbangan Raja Pemerintah sewajarnya," titah baginda.

Sinar Harian melaporkan, JAIPk telah menggantung sementara tugas empat imam di negeri ini susulan aduan tidak membacakan teks khutbah Jumaat yang disediakan jabatan itu pada 31 Januari lalu.

Tindakan itu berkuat kuasa 6 Februari lepas membabitkan imam masjid iaitu dua di Teluk Intan dan masing-masing satu di Parit Buntar dan Kuala Kangsar.