LIPIS - Lemang jagung menjadi antara hidangan utama bagi masyarakat Orang Asli etnik Semai di Kampung Simpang Gening Paroh, Pos Lenjang, Ulu Jelai, sebagai pengganti beras ketika musim hujan, lebih-lebih lagi apabila padi huma atau padi bukit masih belum boleh dituai.
Wak Dui Salleh, 45, berkata, makanan ini menjadi pilihan keluarga mereka dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu sebelum padi huma masak dan boleh dituai.
Pada masa itu katanya, mereka akan menyediakan makanan berasaskan tumbuhan seperti ubi kayu, jagung, labu dan bahan-bahan lain yang ada di sekitar mereka.
"Jika kehabisan beras sebelum padi huma dituai, kita akan mencari makanan alternatif daripada tanaman sendiri. Ini sudah menjadi kebiasaan sejak zaman orang-orang tua dahulu,” katanya.
Tambahnya, sebelum memulakan proses memasak lemang jagung, penduduk kampung akan melakukan rutin harian, di mana wanita memetik jagung dari kebun, manakala golongan lelaki pula mencari buluh lemang di hutan berdekatan.
"Untuk menyediakan lemang jagung, ia tidaklah begitu rumit. Tongkol jagung dibuang kulit, dibasuh, dan dilumur sedikit minyak supaya tidak melekat dalam buluh.
"Seterusnya, jagung itu dilumur dengan secubit gula dan garam ikut cita rasa, lalu dimasukkan ke dalam buluh lemang,” jelasnya.
Menurutnya lagi, proses memasak lemang jagung ini tidak memerlukan waktu yang lama.
"Cukup dengan memastikan api atau bara yang kuat sehingga tanda asap keluar dari muncung buluh, itu menandakan lemang sudah masak.
"Lemang jagung yang telah masak biasanya dinikmati dengan sambal, dan lebih enak lagi jika dimakan bersama ubi kayu bakar," katanya.