SHAH ALAM - Kehilangan seorang penuntut Malaysia di Kure Kosen, Hiroshima, Jepun mula disedari apabila mangsa tidak menghubungi ahli keluarga seperti kebiasaan.
Menurut sahabat baik kepada Nurin Hannani Mohd Hafizi, 21, sebaik sahaja mangsa meninggalkan asrama untuk ke kelas, dia tidak memberi sebarang maklumat mengenai keberadaannya.
"Kebiasaannya Nurin Hannani akan sentiasa memaklumkan kepada ibunya mengenai perkara yang dia buat dan bila dia keluar. Tak pernah sekali pun dia tidak menghubungi keluarga di Malaysia.
"Tapi pada Isnin, dia keluar dari asrama untuk pergi ke kelas tetapi tiada sebarang khabar. Mulanya, ibu dia tak risau sangat, tetapi selepas gagal dihubungi, ibunya terus berhubung dengan pihak yang menjaga Hannani di sana," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, Nurin Hannani yang sedang melanjutkan pelajaran di sebuah institut pengajian tinggi di Kure Kosen, Hiroshima, Jepun dilaporkan hilang sejak 27 Januari lalu.
Pelajar wanita berusia 21 tahun itu dipercayai hilang dan tidak dapat dihubungi selepas meninggalkan kampus pada tengah hari pada Isnin.
Bagaimanapun, menurut sahabat baik kepada Nurin Hannani, berdasarkan maklumat daripada pihak di sana, mangsa didakwa tidak hadir ke kelas seperti biasa pada hari tersebut.
Tambahnya, pelajar wanita yang berasal dari Taiping, Perak itu merupakan seorang yang pendiam dan tidak pernah menyembunyikan sebarang masalah dihadapi daripada pengetahuan keluarga.
"Dia merupakan pelajar tahun pertama jurusan kejuruteraan bagi Perancangan Bandar dan Kejuruteraan Alam Sekitar di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ).
"Nurin Hannani bertolak ke sana (Kure Kosen, Hiroshima) pada April tahun lalu dan dia juga seorang pelajar tunggal Malaysia yang beragama Islam," ujarnya.
Mengulas lanjut, rakan kepada Nurin Hannani itu memaklumkan, kini keluarga mangsa dalam persediaan untuk berangkat ke Hiroshima, Jepun dalam masa terdekat, namun belum ada tarikh yang tetap.
Katanya, laporan mengenai kehilangan pelajar wanita berkenaan sudah dibuat kepada Imigresen Jepun dan juga kedutaan Malaysia.
"Buat masa sekarang masih belum ada khabar, yang dimaklumkan kepada keluarga hanya mengenai laporan sudah dilakukan dan kini pasukan keselamatan di negara matahari terbit itu sudah memulakan operasi mencari mangsa.
"Saya sangat berharap yang Nurin Hannani pulang dalam keadaan selamat. Dia anak dan kawan yang sangat baik, selalu bantu orang.
"Saya cuma nak minta kepada semua yang tahu tentang kes ni untuk selitkan doa yang baik-baik untuk dia di sana. Hanya doa yang dapat beri petunjuk dan permudahkan urusan dia," ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Hannani diminta untuk menghubungi Pegawai Pejabat Penasihat Pendidikan dan Latihan (PPL) Tokyo, Imran Yusof di talian 81 80-7561-8080 atau Yang Munirah di 60 12-688 8364.