MCMC mulakan tindakan undang-undang ke atas X, XAI dalam masa terdekat

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung sekatan ke atas Grok AI.

CYBERJAYA- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi bakal memulakan tindakan undang-undang terhadap X Corp (X) dan dan xAI LLC berhubung kegagalan penyedia platfom itu terhadap keselamatan pengguna di Malaysia berkaitan penggunaan Grok.

Menerusi kenyataan pada Selasa, MCMC telah mengenal pasti penyalahgunaan Grok untuk menjana dan menyebarkan kandungan berbahaya termasuk kandungan lucah berunsur seksual secara eksplisit, tidak senonoh, jelik melampau, serta imej manipulasi tanpa persetujuan.

Iklan
Iklan

"Peguam cara telah dilantik dan prosiding undang-undang akan dimulakan dalam masa terdekat," katanya.

Ujar suruhanjaya itu, kandungan yang didakwa melibatkan wanita dan kanak-kanak merupakan perkara yang amat membimbangkan. Perlakuan sedemikian menyalahi undang-undang Malaysia dan menjejaskan komitmen keselamatan yang dinyatakan oleh entiti berkenaan.

Iklan

Satu notis telah dikeluarkan terhadap X dan XAI pada 3 dan 8 Januari lalu untuk menghapuskan penghapusan kandungan yang menyalahi undang-undang, bagaimanapun kata MCMC, tiada tindakan pemulihan diambil oleh kedua-dua syarikat berkenaan.

"X dan xAI LLC boleh dipertanggungjawabkan walaupun kandungan tersebut dijana oleh pengguna," ujar MCMC.

Iklan

Tegas MCMC, X dan XAI kekal mempunyai kawalan terhadap reka bentuk, pelaksanaan, mekanisme penyeliaan, serta langkah mitigasi risiko bagi Grok.

"Tanggungjawab tidak boleh diketepikan apabila perlindungan sistemik gagal berfungsi. MCMC juga mengambil maklum kegagalan X dan xAI LLC untuk menguatkuasakan dasar serta kawalan dalaman mereka sendiri.

"Kegagalan ini berkemungkinan telah memudahkan berlakunya aktiviti dalam talian yang menyalahi undang-undang di Malaysia," jelas MCMC.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Malaysia mengenakan sekatan terhadap Grok berkuat kuasa Ahad lalu sekali gus menyebabkan pengguna gagal mengakses platform model kecerdasan buatan (AI) itu.