Program 'Glamping With Pride' dibatalkan

Iklan
Penganjuran Glamping With Pride yang dijadual berlangsung di Hulu Langat, Selangor dibatalkan atas faktor keselamatan.

PUTRAJAYA - Tempahan lokasi bagi penganjuran Glamping With Pride yang dijadual berlangsung di Hulu Langat, Selangor pada hujung minggu depan dibatalkan atas faktor keselamatan.

Kumpulan yang menganjurkan program itu berkata, pembatalan tempahan itu dibuat pemilik lokasi berkenaan, selain pihaknya turut menerima ancaman keselamatan, termasuklah ugutan bunuh dan keganasan melalui media sosial.

Iklan
Iklan

"Kami ingin menegaskan dengan jelas pembatalan ini bukan kerana aktiviti rekreasi ini menyalahi undang-undang, sebaliknya berpunca daripada keadaan semasa yang dicetuskan oleh retorik tidak bertanggungjawab, kecelaruan maklumat dan 'fear mongering' sehingga menjadikan nyawa sebagai taruhan keselamatan," kata kumpulan itu dalam kenyataan pada Selasa.

Dakwa kumpulan tersebut, seramai 50 individu telah menyatakan minat untuk menyertai program tersebut berbanding 14 peserta yang berdaftar sebelum ia disensasikan secara meluas.

Iklan

"Akibat ketakutan dan momokan yang dicetuskan, 50 individu tersebut kini kehilangan ruang selamat untuk berkumpul dan belajar tentang kesihatan di ruang alam semula jadi Malaysia. Ini adalah kesan sebenar daripada stigma dan kepanikan moral," jelasnya.

Kumpulan itu turut menyatakan kekesalan mereka dengan kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa, institusi dan tokoh awam yang didakwanya gagal menenangkan keadaan dan mempertahankan golongan minoriti daripada ancaman.

Iklan

"Ancaman keganasan terhadap mana-mana pihak bukanlah penyelesaian bagi apa-apa perbezaan pandangan. Hakikatnya LGBTQ+ (lesbian, gay, biseksual dan transgender dan queer) wujud di seluruh Malaysia, di bandar raya dan desa, dalam kalangan keluarga, tempat kerja dan komuniti serata negara," ujarnya.

Kata kumpulan itu, hak mereka untuk hidup dengan selamat, bermaruah dan tanpa ketakutan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Kami bukan ancaman, kami bukan orang asing. Kami semua adalah rakyat Malaysia," tambahnya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan penganjur program itu bertegas untuk meneruskannya walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.

Program tersebut digambarkan sebagai sebuah 'retreat' berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin menitahkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Mufti Selangor agar mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang membabitkan gaya hidup LGBT di negeri berkenaan.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang aktiviti songsang LGBT yang dianjurkan di Selangor.

Dalam pada itu, penganjur menegaskan aktiviti komuniti yang dilaksanakan secara tertutup dan bersifat pendidikan serta kesihatan itu sebagai usaha untuk mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan awam seperti HIV.

"Aktiviti perkhemahan dan rekreasi berlaku di negara ini setiap hari. Komuniti LGBTQ+ juga berhak diberi ruang yang sama tanpa diancam dengan apa-apa bentuk ugutan bersifat keganasan," ujar kumpulan berkenaan.