SHAH ALAM – Selepas empat tahun diheret ke mahkamah, tiga lelaki menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa melepaskan dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine lebih 96 kilogram.
Hakim, Dr Wendy Ooi Su Ghee memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan, terhadap pekerja kampung, Muhammad Amiruddin Abd Hadi, 30 dan dua penghantar barang, V Vijandran Nair, 35, serta Muhammad Faiz Ahmad, 36.
Semasa membaca keputusan, beliau berkata, terdapat kelemahan yang serius dalam kes pendakwaan berkenaan.
Berdasarkan alasan ringkas penghakiman, beliau berkata, terdapat percanggahan keterangan saksi-saksi pendakwaan, khususnya berkaitan pengecaman barang kes dan jumlah kotak dadah yang dirampas.
Katanya, mahkamah turut mengambil perhatian terhadap kegagalan pihak polis mengemukakan gambar semasa rampasan dilakukan.
Beliau berkata, meskipun pihak forensik meminta rakaman kamera litar bertutup (CCTV) asal, namun mereka hanya memperoleh video yang telah disunting.
“Selain itu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal memanggil saksi penting dalam kes berkenaan.
“Pegawai penyiasat juga gagal menyiasat keterangan-keterangan yang diberikan oleh tertuduh, sekali gus menjejaskan kredibiliti keseluruhan kes pendakwaan seterusnya memprejudiskan pembelaan tertuduh.
“Justeru itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan semua tertuduh, tanpa perlu membela diri terhadap pertuduhan berkenaan,” katanya.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Mardiyah Mohd Ali.
Pembelaan bagi Muhammad Amiruddin pula diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan, Muhamad Asri Abdul Hamid dan Md Yusuf Md Idris.
Vijandran Nair pula dihadiri peguam, Zulkifli Awang dan Mohd Ruzaini Zulkifli, sementara Muhammad Faiz oleh peguam, Datuk Geethan Ram Vincent.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 96,700.3 gram di tepi sebuah rumah di Taman Batu Caves, Gombak, Selangor, jam 3.00 petang pada 6 Ogos 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.