SHAH ALAM - Mempertingkatkan operasi kawalan bersama termasuk rondaan antara pasukan keselamatan Malaysia dan Indonesia di kawasan maritim merupakan usaha yang boleh dilakukan untuk memperkukuhkan kerjasama rentas sempadan kedua-dua negara.
Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, berkongsi maklumat risikan juga aspek penting bagi mengatasi isu penyeludupan dan keselamatan maritim terutama yang melibatkan rakyat kedua-dua negara berjiran tersebut.
"Secara umumnya, mekanisme ini telah dibuat antara pasukan keselamatan Malaysia dan Indonesia bagi memastikan keselamatan sempadan perairan maritim yang mana masing-masing terlibat membuat rondaan.
"Malah, dari masa ke masa hubungan kerjasama antara kedua-dua negara ini terus subur. Jadi, dengan adanya peningkatan operasi kawalan bersama dan berkongsi maklumat risikan ini ia berupaya membantu mengekang lebih banyak ancaman kepada keselamatan di perairan maritim ini.
"Melalui peningkatan pelaksanaan langkah-langkah ini juga diharap kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dapat diperkukuhkan, seterusnya mengatasi isu penyeludupan demi keselamatan maritim bagi rakyat kedua-dua negara,” katanya kepada Sinar Harian.
Kedutaan Indonesia pada Selasa dilapor akan menghantar nota diplomatik kepada Malaysia berhubung insiden dua warganegaranya yang ditembak mati selepas didakwa menyerang anggota penguat kuasa maritim dengan parang di perairan Tanjung Rhu, Banting pada minggu lalu.
Kementerian Luar Negeri Indonesia mengesahkan warganegara Indonesia itu disyaki cuba meninggalkan Malaysia melalui laluan haram, bagaimanapun menggesa tindakan diambil sekiranya anggota penguat kuasa terbukti menggunakan kekerasan berlebihan dalam kejadian tembakan itu.
Sementara itu, ditanya sama ada insiden berkenaan memberi kesan kepada hubungan diplomatik kedua-dua negara, Zaki menjelaskan ia diyakini tidak berlaku.
Malah katanya, adalah menjadi amalan biasa bagi sesebuah negara membuat nota bantahan bagi mendapat lebih kepastian dan keadilan melibatkan sebarang isu berbangkit.
Beliau dalam masa sama menegaskan, agensi keselamatan Malaysia juga mempunyai hak untuk mempertahankan tindakan yang dibuat sekiranya ia mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.