SHAH ALAM - Kepulangan ribuan penduduk ke utara Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu merupakan permulaan kepada kebangkitan semula rakyat Palestin.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, tidak timbul isu terlalu awal bagi mereka untuk kembali memandangkan ia adalah sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata.
Menurutnya, walaupun ada yang khuatir dengan risiko keselamatan, ia sebenarnya bukanlah halangan memandangkan rakyat Palestin telah mempertaruhkan nyawa mereka sejak 77 tahun lalu iaitu apabila peristiwa Nakba bermula pada tahun 1948.
"Apabila berlakunya gencatan senjata, mereka berhak untuk kembali ke tempat sendiri kerana itu negara mereka.
"Biarpun Israel kata ia hanya sementara, tapi bagi orang Palestin, itu negara mereka. Sebelum ini keadaan kacau bilau kerana perang tapi bila aman, mereka pulang.
"Jika ada yang bimbang dengan risiko keselamatan, penduduk di sana lebih tahu dan bersedia kerana sentiasa diuji serta membesar dengan kekejaman Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang ribuan penduduk Palestin yang mula kembali ke utara Semenanjung Gaza pada pagi Isnin sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Hamas Palestin yang berkuat kuasa pada 19 Januari.
Ditanya tempoh masa untuk mereka kembali bangkit, Salawati menjelaskan, agak mustahil untuk membangunkan semula Gaza dalam tempoh singkat, namun percaya rakyat Palestin akan ‘bangkit’ di sebalik celahan runtuhan akibat perang selama 15 bulan itu.
Sementara itu, Pakar Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam menyifatkan kepulangan masyarakat Palestin ke utara Gaza adalah satu keputusan yang cukup pedih bagi Israel.
Bagaimanapun katanya, mereka terpaksa menerima dan membuat keputusan sedemikian kerana tekanan yang diterima terutama dari Amerika Syarikat di bawah pimpinan Donald Trump.
"Sebenarnya, memang ada perjanjian antara pihak Israel dan Trump untuk memindahkan semua penduduk di Gaza sama ada di Semenanjung Sinai, Mesir atau Jordan. Bagaimanapun, kedua-duanya belum bersetuju dengan terma serta syarat ditetapkan oleh Amerika.
"Pada ketika ini kita lihat Amerika cuba menekan Mesir dan Jordan menerima masyarakat Gaza daripada mereka kembali semula ke tempat asal. Bagaimanapun, syarat-syarat itu belum dipatuhi dan dipenuhi, maka masyarakat Palestin pada ketika ini pulang semula ke utara Semenanjung Gaza.
"Walaupun keadaan yang tidak pasti dari segi keselamatan, kehidupan dan lain-lain tapi rakyat Palestin cukup bangga serta rasa penuh semangat kebangsaan dan nasionalis untuk kembali ke tanah tumpah darah mereka,” ujar beliau.