KUALA TERENGGANU - Sebanyak 43 kampung yang terletak berhampiran 12 muara sungai di Terengganu berisiko dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar yang diramalkan bermula hari ini sehingga Khamis.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir Osman Abdullah berkata, kejadian itu boleh menyebabkan banjir di kampung berhampiran dan tepi pantai sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang.
Menurutnya, daerah Kuala Terengganu melibatkan Kampung Kubang Ikan, Kampung Kuala Ibai dan Taman Purnama.
"Di daerah Kuala Nerus lokasi berisiko ialah Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Kampung Pak Tuyu, Kampung Tanjung Gelam, Kampung Pulau Rusa, Kampung Pulau Sekati dan Kampung Pulau Ketam.
"Di daerah Dungun pula, kawasan yang dijangka terjejas termasuk Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara, Kampung Tanjung Jara, Kampung Che Lijah, Kampung Alor Makbah, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Sungai Udang.
"Selain itu, Kampung Kuala Paka, Kampung Tebing Tembah, Kampung Pinang Merah, Kampung Durian Mentangau serta Kampung Sura," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Osman berkata, fenomena air pasang turut dijangka menjejaskan lima kawasan di daerah Marang iaitu Kampung Rusila, Kampung Rhu Dua, Kampung Rhu Rendang, Kampung Merchang dan Kampung Baru Pulau Rusa.
"Di daerah Besut pula melibatkan Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Budu, Kampung Pantai dan Kampung Nail.
"Di daerah Setiu turut melibatkan kawasan seperto Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu, Kampung Fikri dan Kampung Telaga Papan.
"Manakala di daerah Kemaman empat kawasan dijangka terjejas iaitu Kampung Baru Kemasik, Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Pengkalan Cicar Bukit Kuang dan Kampung Bakau Tinggi," jelas beliau.
Justeru, Osman menasihatkan penduduk di kawasan terlibat supaya berwaspada serta peka dengan arahan ditetapkan oleh pihak berkuasa.
"Walaupun kelajuan angin dijangka hanya sekitar 25 kilometer sejam (km/j), namun ketinggian ombak yang boleh mencapai lebih tiga meter boleh mendatangkan risiko kepada penduduk di sekitar kawasan pantai," jelasnya.