KUALA TERENGGANU - Penganjur Mini Kejohanan Bola Jaring Campuran bersetuju membatalkan pertandingan yang dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober ini selepas didapati bercanggah dengan Garis Panduan Sukan Negeri Terengganu.
Kerajaan negeri dan Persatuan Bola Jaring Negeri Terengganu sebelum ini turut menafikan penglibatan dalam penganjuran kejohanan membabitkan peserta lelaki dan wanita berkenaan sebagaimana tular di media sosial.
Presiden Persatuan Bola Jaring Negeri Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan secara terbuka dengan pihak penganjur selepas poster berkenaan kejohanan tersebut mendapat perhatian ramai.
Menurutnya, hasil pertemuan itu, pihak penganjur bersetuju untuk tidak meneruskan pertandingan terbabit.
"Sebaliknya, kita mahu sukan terus berkembang seiring dengan nilai agama, adab dan budaya masyarakat Terengganu," katanya dalam kenyataan di laman sosialnya pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang serta Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional turut menyambut baik pendirian Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berhubung pembatalan kejohanan tersebut.
Terdahulu, Hishamuddin dalam kenyataan berasingan memaklumkan penganjuran kejohanan di Jeram, Manir itu adalah usaha pihak persendirian dan bukan di bawah kelolaan jabatan atau agensi kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri telah memanjangkan perkara itu kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk siasatan selain menghubungi penganjur secara terus selepas menerima aduan berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, jelas Hishamuddin, kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka terhadap penganjuran aktiviti sukan, namun berharap agar semua pihak mematuhi garis panduan ditetapkan tanpa mengorbankan identiti serta nilai pegangan masyarakat di negeri itu.
"Oleh kerana konsep penganjuran ini bertentangan dengan Garis Panduan Sukan Negeri Terengganu dalam perkara 4 (Garis Panduan Umum), pihak penganjur tidak dibenarkan meneruskan penganjuran ini melainkan jika diadakan tanpa penyertaan campuran, iaitu hanya melibatkan peserta wanita sahaja.
"Penganjur juga diminta mengemukakan permohonan permit kelulusan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terlebih dahulu bagi sebarang penganjuran pada masa hadapan," katanya.