KUALA TERENGGANU - Himpunan memperingati tiga tahun Taufan Al-Aqsa Peringkat Terengganu bermula 10 Oktober depan menyasarkan kehadiran seramai 10,000 hingga 20,000 peserta bagi menyatakan sokongan berterusan terhadap kesengsaraan yang ditanggung rakyat Palestin.
Ketua Penerangan Pemuda Pas Negeri Terengganu, Mohd Ridhuan Abdul Karim berkata, penganjuran bersama Persatuan Sahabat Sejahtera Negeri Terengganu itu bertujuan memupuk kesedaran melibatkan pelbagai lapisan masyarakat di Terengganu, termasuk memperluaskan mesej kemanusiaan kepada bukan Islam.
"Penganjuran kali ini adalah wadah untuk kita terus memperingati tahun ketiga konflik 'Taufan Al-Aqsa' serta menyatakan sokongan padu dan berterusan kepada saudara kita di Palestin, di samping menyasarkan penglibatan menyeluruh pelbagai lapisan masyarakat termasuk bukan Islam di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Tingkat 2, Pejabat Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Bangunan EPIC di sini pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Sahabat Sejahtera Negeri Terengganu, Ahmad Zulfikar Azlee Che Zainal Abidin dan Setiausaha Program, Nasaruddin Othman.
Menurut Mohd Ridhuan, sasaran penyertaan kali ini menyaksikan peningkatan berbanding 10,000 penyertaan pada tahun sebelumnya di peringkat negeri.
Mengulas mengenai jadual program, beliau memaklumkan bahawa program kemuncak dijadualkan berlangsung pada 16 Oktober 2026, diiringi beberapa siri program pra-acara bermula awal Oktober.
"Antara acara awal yang dinantikan ialah perarakan bot bertemakan 'Lautan Suara Untuk Palestin' pada 10 Oktober 2026, jam 5.30 petang bermula di Muara Sungai Terengganu melibatkan perhimpunan bot dari Marang, Kuala Nerus, dan Kuala Terengganu menuju ke Jambatan Angkat (Drawbridge) dengan sasaran penyertaan sekitar 400 buah bot menyamai rekod tahun lepas.
"Menjelang hari kemuncak pada Jumaat, 16 Oktober 2026, program akan dimulakan dengan Khutbah Khas Palestin bertajuk 'Suara Dari Mimbar Untuk Ummah' menerusi solat Jumaat di seluruh masjid sekitar negeri Terengganu bagi mengetengahkan isu perjuangan Palestin.
Beliau berkata, kemuncak program akan diteruskan pada jam 9 malam di Stadium Negeri dengan ceramah mega serta persembahan istimewa daripada Kumpulan Shoutul Amal.
Jelasnya lagi, slot ceramah khas sempena kemuncak program itu akan menampilkan barisan penceramah ternama peringkat tempatan dan antarabangsa.
"Antara yang dijangka hadir menyampaikan ceramah mega ialah Presiden Pas merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang; penceramah dari Indonesia, Habib Hanif Alatas; Bung Aladi dari Patani; Dr. Habib Reza dari Iran; serta Ketua Pemuda Pas Selangor, Sukri Omar yang akan menyampaikan Kuliah Maghrib Perdana di tapak Program," katanya.