KUALA TERENGGANU - Jabatan Perikanan Malaysia melalui Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TCIC) Rantau Abang merekodkan tiga pendaratan penyu belimbing (Dermochelys coriacea) di pesisir pantai Terengganu sepanjang September tahun ini.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, rekod berkenaan melibatkan keseluruhan 195 biji telur yang berjaya dipindahkan ke tapak pengeraman bagi perlindungan dan pemuliharaan.
Menurutnya, ketiga-tiga pendaratan tersebut direkodkan pada 1 September di Pantai Pasir Putih, Marang yang melibatkan 44 biji telur; 13 September di Pantai Rantau Abang dengan 81 biji telur; serta 22 September di Pantai Kuala Abang dengan 70 biji telur.
"Penyu berkenaan direkodkan mempunyai panjang karapas 215 sentimeter dan lebar karapas 115 sentimeter, serta menghasilkan sebanyak 70 biji telur,"katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Beliau berkata, kesemua 70 telur daripada pendaratan ketiga itu kemudiannya dipindahkan pada kira-kira jam 6 pagi hari yang sama ke tapak pengeraman di TCIC Rantau Abang dan ditanam semula pada kedalaman antara 80 hingga 100 sentimeter bagi menyediakan keadaan yang hampir sama dengan sarang semula jadi.
"Tempoh pengeraman dianggarkan mengambil masa antara 55 hingga 70 hari, bergantung kepada faktor suhu pasir, sebelum anak penyu atau tukik dijangka menetas.
"Pemantauan terhadap keadaan sarang akan terus dilaksanakan secara berkala oleh pihak TCIC. Dengan pemindahan telur daripada ketiga-tiga pendaratan tersebut, keseluruhan 195 biji telur kini berada di bawah pengurusan pemuliharaan TCIC Rantau Abang bagi meningkatkan perlindungan sarang serta peluang kelangsungan hidup telur sehingga menetas,"katanya lagi.
Menurut beliau, perkembangan itu penting dalam pemantauan berterusan pihak jabatan terhadap aktiviti pendaratan spesies terbabit di Terengganu selain memastikan setiap telur dihasilkan dalam keadaan selamat.
"Lebih penting, kesemua telur yang berjaya diselamatkan kini mendapat perlindungan dan dipantau melalui proses pengeraman terkawal. Usaha pemuliharaan tidak berakhir di pusat penetasan semata-mata.
"Perlindungan kawasan pendaratan, pemantauan berterusan serta kerjasama masyarakat, khususnya komuniti setempat dan nelayan, amat penting bagi memastikan spesies ini terus mempunyai peluang untuk kembali mendarat dan membiak di perairan kita,"katanya
Dalam pada itu, beliau berkata, kerja-kerja pemuliharaan penyu memerlukan kesinambungan yang erat antara pemantauan saintifik, pengurusan sarang, penguatkuasaan undang-undang, dan kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat.
"Jabatan akan terus memperkukuh pemantauan dan pengurusan pemuliharaan penyu. Namun, peranan masyarakat juga amat penting.
"Sekiranya orang awam menemui penyu yang sedang mendarat, jangan diganggu atau disentuh dan segera laporkan kepada Jabatan Perikanan supaya tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan," tambahnya lagi.
Jelas beliau lagi, Jabatan Perikanan Malaysia turut mengingatkan orang ramai dan masyarakat setempat bahawa penyu serta telurnya adalah hidupan yang dilindungi di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.
"Orang ramai dilarang sama sekali daripada mengganggu, menyentuh, memburu, atau mengambil penyu dan telurnya.
"Di bawah Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 2021), mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan berkaitan pemilikan, penjualan, jual beli telur, atau sebarang bentuk gangguan terhadap penyu boleh dikenakan hukuman denda antara RM50,000 hingga RM250,000 serta hukuman penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,"katanya.
Beliau berkata, penyu belimbing kekal sebagai salah satu spesies marin yang amat penting dari aspek pemuliharaan ekosistem global dan negara.
"Kita menyeru komuniti nelayan, penduduk setempat, serta orang awam agar terus memberikan kerjasama dengan melaporkan segera sebarang pendaratan atau penemuan penyu kepada Jabatan Perikanan demi memastikan usaha perlindungan ini dapat dilaksanakan secara berterusan,"katanya. - Bernama