KUALA TERENGGANU - Orang ramai dilarang menangkap ikan di kawasan tasik Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung di Kuala Ibai, di sini yang kini menjalani projek pembaikan dan penyelenggaraan bermula Ogos hingga Disember 2027.
Timbalan Pengerusi Masjid, Mohd Nafizul Ismail berkata, projek melibatkan kos RM2 juta itu merangkumi kerja-kerja pembaikan struktur di bahagian bawah masjid termasuk bahagian tiang dan rasuk.
Menurutnya, bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut, proses pengeringan dan pengurangan paras air tasik di sekitar masjid akan dijalankan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan dengan selamat dan lancar.
"Selain itu, orang ramai juga tidak dibenarkan menangkap, mengambil atau memindahkan ikan dan hidupan tasik atau turun ke kawasan tasik atau kawasan kerja yang telah dikosongkan airnya, mengganggu, menghalang atau memasuki kawasan kerja tanpa kebenaran pihak bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Beliau berkata, larangan itu dikeluarkan demi keselamatan orang awam kerana keadaan tasik menjadi tidak selamat disebabkan kehadiran teritip, terumbu, struktur konkrit, permukaan tidak rata serta risiko kawasan yang licin dan tajam yang boleh mendatangkan kecederaan.
"Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mengambil sebarang risiko dengan memasuki kawasan tasik semata-mata untuk menangkap ikan walaupun hidupan air tersebut kelihatan jelas semasa air surut.
"Langkah ini bertujuan memastikan kerja-kerja penyelenggaraan berjalan lancar tanpa gangguan, dapat disiapkan mengikut tempoh masa ditetapkan serta mengelak sebarang risiko kemalangan atau kecederaan," ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai pengurusan hidupan tasik katanya, semua hasil seperti ikan yang diperoleh sepanjang proses pengeringan dan pelaksanaan projek akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak pengurusan Masjid Tengku Tengah Zaharah.
"Hasil jualan daripada hidupan tasik terbabit akan disalurkan terus ke Tabung Masjid Tengku Tengah Zaharah bagi kegunaan serta manfaat pengurusan masjid.
"Pihak pengurusan memohon kerjasama semua pihak agar mematuhi arahan keselamatan. Kawasan projek bukanlah kawasan rekreasi yang dibenarkan dimasuki oleh orang awam tanpa kebenaran," katanya.