KES mangsa yang terjerat dengan penipuan pelaburan masih berlaku dan dilaporkan hingga hari ini.
Amat mengejutkan apabila satu kes dilaporkan mengakibatkan seorang mangsa kerugian RM6.11 juta selepas terperdaya skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook.
Sebelum ini turut dilaporkan seorang pengurus syarikat kerugian RM1.15 juta selepas menyertai pelaburan tidak wujud di Facebook.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sering kali menyatakan dan mengingatkan orang ramai bahawa skim pelaburan yang ditawarkan di media sosial adalah satu bentuk penipuan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf kesal kerana masih ada mangsa yang terpedaya dengan sindiket penipuan walaupun berulang kali nasihat serta amaran diberikan kepada orang ramai.
Rekod menunjukkan jumlah pengguna media sosial di negara ini mencecah 28.6 juta orang seterusnya menjadikan platform itu sebagai jalan mudah untuk sindiket penipuan mencari mangsa.
Apa yang boleh dikongsikan, antara modus operandi sindiket tipu pelaburan ini ialah mengiklankan tawaran di media sosial dengan tawaran pulangan berlipat ganda sebelum mangsa yang berminat menekan pautan terbabit.
Mangsa kemudian kononnya akan diajar individu tertentu dan meminta untuk membuat transaksi ke akaun bank yang diberikan.
Selepas transaksi dibuat mangsa akan melihat keuntungan yang diterimanya, namun suspek akan memberi alasan untuk mangsa ini membuat bayaran cukai bagi menuntut jumlah wang itu.
Mangsa akhirnya menyedari dirinya tertipu apabila gagal mendapatkan wang terbabit.
Selain itu, beberapa modus operandi scammer pelaburan lain juga dikesan termasuk menggunakan nama individu berpengaruh.
Kecanggihan teknologi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), membolehkan sindiket mencipta iklan palsu menggunakan gambar dan video individu terkenal untuk mengaburi mangsa.
Jadi tidak hairanlah media sosial memberi kelebihan kepada penjenayah untuk menyembunyikan identiti mereka sambil memperdaya mangsa.
Apa yang boleh ditegaskan dan paling utama ialah jangan sesekali terpedaya dan menyertai skim pelaburan yang tidak dilesenkan atau tidak diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti.