Kuasa adalah amanah, bukan hak mutlak

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung RUU had tempoh jawatan Perdana Menteri.

CADANGAN mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal bukan idea baharu. Ia sudah lama dibincangkan dalam wacana reformasi politik, cuma tiada keberanian untuk dilaksanakan.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) had tempoh jawatan Perdana Menteri sebagai satu daripada langkah reformasi institusi yang akan dilaksanakan tahun ini.

Iklan
Iklan

Sekiranya RUU itu diluluskan, tiada lagi Perdana Menteri berkuasa terlalu lama. Ini bermaksud kuasa ada had, kepimpinan ada tarikh luput. Tidak selama-lamanya duduk di kerusi kuasa.

Ini selari hujah Anwar sendiri bahawa jawatan tertinggi negara tak sepatutnya jadi milik peribadi atau dipegang tanpa sempadan masa.

Iklan

Secara prinsipnya, had dua penggal adalah langkah demokratik wajar. Ia bertujuan mengelakkan pemusatan kuasa, mengurangkan kecenderungan autoritarian dan menutup ruang penyalahgunaan institusi negara untuk kepentingan politik peribadi.

Sejarah membuktikan, kuasa terlalu lama di tangan individu sama jarang berakhir dengan baik sama ada dari sudut integriti, tadbir urus mahupun kepercayaan rakyat.

Iklan

Namun ada juga berpendapat cadangan itu mempunyai pro dan kontra kerana isu utama bukan terletak pada tempoh masa tetapi prestasi kepimpinan.

Sekiranya seseorang Perdana Menteri itu menunjukkan prestasi baik dan memberi manfaat kepada rakyat serta negara, ia tidak menjadi masalah biarpun memegang jawatan tersebut sehingga 10 penggal.

Hujah ini separuh benar, tetapi berbahaya jika dijadikan alasan untuk mengekalkan kuasa tanpa had. Kestabilan sebenar bukan bergantung kepada individu, tetapi kekuatan institusi. Negara matang tidak runtuh hanya kerana pertukaran pemimpin.

Had tempoh bukan bermakna menolak pemimpin yang baik. Ia sekadar memastikan tiada siapa terlalu lama berasa tidak boleh disentuh. Demokrasi bukan soal mencari penyelamat, tetapi membina sistem tidak bergantung kepada individu.

Jika seorang pemimpin benar-benar berwibawa, legasinya akan hidup melalui dasar dan institusi, bukan melalui tempoh jawatan yang dipanjangkan. Memegang kuasa dalam tempoh lama tapi tidak berbuat apa-apa pun tetap tidak berguna.