SEREMBAN - Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) menafikan pengusaha bas sekolah yang bernaung di bawah persatuan itu akan menaikkan kadar tambang mulai sesi persekolahan 2025 pada Februari ini.
Presidennya, Mohd Rofik Mohd Yusof sebaliknya berkata, isu tambang naik sepatutnya tidak lagi timbul kerana kadar tambang regulasi, iaitu persetujuan bersama antara pengusaha dan ibu bapa, sudah diperkenalkan.
"Yang menentukan kadar tambang bas sekolah sekarang ini adalah antara pengusaha dan ibu bapa atau penjaga.
"Ini adalah persetujuan bersama. Tapi kita memberi ruang kepada pengerusi GPBSM setiap negeri untuk mengadakan perbincangan dengan ibu bapa jika berhasrat menilai semula kadar sedia ada, namun perlu pastikan ia mencapai situasi menang-menang untuk kepentingan bersama,” jelasnya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mohd Rofik berkata, sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak bersetuju dengan kadar yang ditetapkan, mereka boleh memilih pengusaha lain dan tiada paksaan.
Ujarnya, kebanyakan pengusaha di bawah persatuan itu menawarkan kadar tambang RM80 ke RM100 sebulan yang turut bergantung kepada jarak perjalanan.
"Kalau dahulu kadar tambang di kawasan bandar lebih tinggi berbanding luar bandar, tapi apabila sudah diregulasikan, harganya diselaraskan.
"Semua kena faham yang tambang bas ini bayar sekali naik sebulan. Kalau ikut pengiraan lebih kurang RM4 sahaja sehari dan bagi saya ia adalah munasabah,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini masih belum ada pengusaha di bawah persatuannya yang memaklumkan mereka akan menaikkan kadar tambang.
"Di bawah persatuan ini ada lebih 8,000 ahli dan setakat ini tiada lagi yang maklum pada saya yang mereka berhasrat naikkan harga.
"Saya sudah beritahu pada mereka, kadar tambang regulasi perlu berbincang dulu dengan ibu bapa. Saya rasa yang selalu naikkan harga ini biasanya bukan ahli persatuan,” ujarnya.
Mohd Rofik berkata, pihaknya sedar sebarang kenaikan tambang bas sekolah akan memberi kesulitan kepada orang ramai terutama ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah.
Bagaimanapun, katanya, semua pihak perlu mengambil kira kenaikan kos operasi bas sekolah ketika ini terutama membabitkan harga alat ganti kenderaan, tayar dan insurans, serta gaji pemandu.