Kerajaan Selangor serius tangani isu jenayah seksual kanak-kanak

Iklan
Anfaal

SHAH ALAM - Kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan hubungan dengan pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu jenayah seksual dan kanak-kanak di Selangor.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, kerjasama itu penting terutama ketika kes-kes sedemikian dilaporkan mencatatkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

Iklan
Iklan

Ujarnya, di peringkat akar umbi program Advokasi Keselamatan Kasih Kanak-Kanak turut dirancang untuk diadakan di sekolah terpilih di sembilan daerah seluruh Selangor dengan kerjasama pelbagai pihak.

"Kita bekerjasama dengan agensi Persekutuan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Iklan

"Program advokasi ini kita pilih sekolah-sekolah di sembilan daerah di seluruh negeri dengan bajet permulaan dalam RM100,000 dan akan ditambah dari semasa ke semasa bagi setiap program.

"Bagaimanapun kita akan berkongsi peruntukan dan tidak menjadikan program itu anjuran kerajaan negeri semata-mata termasuk dengan mendapat kerjasama PDRM," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Dalam masa sama, Anfaal menyarankan warga pendidik khususnya guru-guru untuk memberi kerjasama melaporkan kejadian jenayah seksual membabitkan kanak-kanak di sekolah masing-masing.

Terdahulu, Selangor merekodkan kes jenayah seksual tertinggi dalam tempoh tiga tahun terakhir dengan 90 peratus pelaku melibatkan warga tempatan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamisah Hasan dilaporkan berkata, kepadatan penduduk, aktiviti ekonomi, desakan hidup serta capaian internet yang meluas menjadi antara faktor Selangor merekodkan kadar jenayah seksual paling tinggi berbanding negeri lain.

Beliau berkata, sebagai sebuah negeri maju, kedudukan Selangor yang bersempadan dengan Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perak juga memudahkan akses kemasukan penduduk dari luar yang antara lain turut menyumbang kepada kadar jenayah di negeri tersebut.

Dalam pada itu, Anfaal turut memaklumkan, Selangor telah memperkenalkan dasar berkaitan kanak-kanak yang menyediakan pelbagai program di peringkat akar umbi untuk membentuk generasi masa depan yang berdaya tahan.

Jelasnya, Dasar Pembangunan Kanak-kanak Selangor dan Pelan Tindakan 2022-2025 menumpukan segenap aspek antaranya kebajikan, kesihatan, pendidikan dan keselamatan kanak-kanak.

"Ia dipantau Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas). Bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pula mereka laksanakan 'digital parenting' dengan menyasarkan kepada semua penerima insentif keibubapaan yang juga merupakan penerima subsidi berpendapatan RM5000 ke bawah," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!