Mohon sendiri bertukar ke sekolah pedalaman

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Abd Kadir

MERSING - Biarpun menyedari bakal berdepan dengan pelbagai kesukaran bertugas di sekolah pedalaman, namun Guru Penolong Kanak Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Peta di sini, Abd Kadir Ibrahim, 51, tidak pernah menyesal dengan keputusannya untuk bertukar ke sekolah berkenaan kira-kira 14 tahun lalu.

Menurut Abd Kadir, dia sendiri yang memohon untuk bertukar ke SK Peta dari sekolah lamanya, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pei Hwa, Johor Bahru setelah banyak membaca dan mengetahui serba sedikit mengenai sekolah berkenaan termasuk kawasan persekitarannya.

Iklan
Iklan

Jelasnya, selain mencari kelainan suasana kerja, dia juga suka pada suasana sungai dan pergunungan selain gemar memancing.

"Mula-mula tu memang terasa macam salah pilih tempat kerana laluan masuk begitu mencabar dan perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda, selain tak ada talian telefon bimbit.

Iklan

"Malah bekalan elektrik juga perlu menggunakan generator sekolah yang adakala terpaksa dicatu penggunaannya,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Abd Kadir, keadaan kawasan sekitar SK Peta kini telah banyak berubah.

Iklan

"Keadaan jalan walaupun masih teruk terutama ketika musim banjir, namun tidak seteruk seperti sebelum ini dan capaian internet dalam kampung juga sedang dalam proses naik taraf.

"Kemudahan elektrik dalam kuarters dan sekolah juga telah dinaik taraf menggunakan solar dan boleh digunakan sepanjang masa.

"Begitu juga dengan kemudahan kemudahan pembelajaran yang telah ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya

Tambah Abd Kadir, selama berkhidmat di SK Peta, dia juga berdepan dengan kesukaran di laluan menuju ke sekolah berkenaan terutamanya ketika banjir.

Katanya, keadaan tersebut menyebabkan laluan utama tidak boleh dilalui langsung kecuali menggunakan bot kerana dinaiki air.

"Sejak dua tiga tahun ini masalah banjir biasanya menjadi penghalang untuk ke sekolah, namun ada laluan alternatif.

"Tetapi laluan alternatif ini perlu melalui kawasan kebun kelapa sawit dan hanya boleh dilalui menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!