'Mafia korporat': 'Jangan bekukan akaun syarikat sewenang-wenangnya' - Ka Siong

Iklan
Ka Siong. Foto: Bernama

SHAH ALAM - Dakwaan kewujudan 'mafia korporat' perlu disiasat secara menyeluruh dan telus dengan mengheret mana-mana pesalah ke muka pengadilan.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, siasatan dan hukuman terhadap pelaku perlu dilaksanakan secara bersasar serta profesional dengan tidak sewenang-wenangnya membekukan akaun syarikat senaraian awam (PLC).

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tindakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) itu akan memberi kesan buruk terhadap operasi syarikat dan harga saham yang akhirnya memberi impak buruk kepada pelabur.

"Saya faham kuasa di bawah AMLA penting untuk memutuskan rangkaian jenayah, membekukan hasil haram dan menghalang pelaku melarikan diri dengan wang kotor.

Iklan

"Tetapi kuasa pembekuan akaun di bawah AMLA itu mesti disertakan dengan pemantauan ketat, kita tidak boleh mengabaikan kesan buruk terhadap operasi syarikat dan harga saham dan kemudian memangsakan pelabur kecil," katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook pada Selasa.

Ka Siong berkata, tindakan yang dikenakan terhadap akaun dua syarikat dan subsidiarinya pada tahun 2022 dan 2025 itu hampir melumpuhkan keupayaan operasi untuk membuat bayaran termasuk gaji dan kepada pembekal.

Iklan

Katanya lagi, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kedua-dua syarikat itu bagaimanapun ditamatkan tanpa sebarang pertuduhan dan akaun syarikat dibuka semula.

"Gangguan seperti ini tidak sepatutnya berlaku tanpa asas yang kukuh, syarikat-syarikat ini bukan milik peribadi pengarah secara mutlak sebaliknya ia milik awam dan rakyat.

"Apabila akaun dibekukan inilah yang perlu ditanggung apabila operasi perniagaa terbantut, keyakinan pelabur hilang dan harga saham merudum malah, pelabur runcit rugi besar walaupun mereka tidak bersalah," ujarnya.

Beliau berpandangan bahawa pelaksanaan AMLA perlu direformasi demi menjaga integriti pasaran modal dan kepentingan ekonomi negara.

"Jangan mahu menghapuskan seekor dua nyamuk, kelambu ekonomi rakyat habis dibakar," katanya.