‘Dia pergi atau kita pergi’ - Ahli Parlimen DAP gesa Azam Baki letak jawatan

Iklan
Tangkap layar Poay Tiong semasa dalam Dewan Rakyat pada Selasa

KUALA LUMPUR - Seorang Ahli Parlimen DAP menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki susulan isu pemilikan saham dalam dua syarikat tersenarai awam yang dibangkitkan baru-baru ini.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkata, pendedahan media antarabangsa berhubung perkara itu berpotensi menjejaskan keyakinan pengundi terhadap kredibiliti kerajaan, khususnya jika tiada sebarang tindakan diambil setakat ini bagi menangani isu berkenaan.

Iklan
Iklan

“Ini bukan kali pertama Ketua Pesuruhjaya SPRM melakukan kesalahan. Pada tahun 2022, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu juga memiliki saham yang lebih daripada apa yang dibenarkan.

"Saya minta supaya kerajaan mengambil tindakan tegas, Azam Baki perlu letak jawatan. He have to go or we have to go (Dia kena pergi atau kita yang perlu pergi). He go or we go (Dia pergi atau kita yang pergi).

Iklan

"Itu pesanan saya, sekiranya kita membenarkan beliau terus memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, pilihan raya akan datang, pengundi akan hukum kita,” katanya ketika membahasakan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ujar Poay Tiong, sekiranya isu tersebut dibiarkan tanpa tindakan, ia boleh mempengaruhi persepsi rakyat sekali gus, mendorong mereka untuk menolak kepimpinan kerajaan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Iklan

"Masa bahas saya tamat tapi jangan tempoh kita jadi kerajaan tamat selepas pilihan raya akan datang," ujarnya.

Sementara itu, Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) turut bersetuju dengan cadangan Poay Tiong berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam menyiasat isu berkenaan.

“Buat pertama kali saya menyokong Kota Melaka untuk menubuhkan RCI. U go or we go (Awak kena pergi atau kita yang pergi).

“Sebagai pembangkang bertanggungjawab, peranan kami bukan sekadar mengkritik tetapi memastikan pentadbiran negara sentiasa berlandaskan akauntabiliti, ketelusan dan integriti pengurusan awam,” katanya.

Menurut Awang Solahuddin, laporan audit (LKAN) 1/2026 itu mempunyai fungsi penting dalam memastikan wang rakyat diurus secara amanah dan berhemah.

“Audit bukan sekadar prosedur teknikal atau mekanisme yang membolehkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan namun, dapatan audit menunjukkan masih terdapat ruang penambahbaikan dalam pengurusan kewangan awam termasuk kelewatan penyerahan penyata kewangan.

“Saya nak mencadangkan agar semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan entiti yang menerima dana atau jaminan kerajaan diwajibkan memperakui audit oleh Jabatan Audit Negara.

“Laporan audit tentang GLC juga wajar dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan ringkasan awam disediakan bagi meningkatkan ketelusan," katanya.