AET lonjak pendapatan pekebun kecil

Iklan
Manndzri (kiri) melihat secara dekat sarang lebah madu kelulut yang diternak oleh Nur Izzatie semasa mengadakan lawatan kerja di mukim Ketereh, Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.


KOTA BHARU - Inisiatif Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) yang diperkenalkan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berjaya mencapai sasaran purata pendapatan kolektif keluarga pekebun kecil sebanyak RM4,500 sebulan.

Demikian dinyatakan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib yang mana seramai 16,000 peserta AET ketika ini mampu menjana pendapatan melepasi garis sasaran tersebut merangkumi empat bidang perniagaan iaitu perkhidmatan, makanan, pembuatan dan pertanian.

"Secara dasarnya, pencapaian AET ini selaras dengan Model Perancangan Strategik RISDA (MPSR) 2030-2025.

"Justeru, pelaksanaan AET ini boleh dikatakan telah memberi impak positif kepada usaha menjana pendapatan keluarga pekebun kecil menerusi aktiviti perniagaan serta keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan kerja meninjau tiga projek usahawan AET di Mukim Ketereh, di sini pada Isnin.

Manndzri (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Muhammad Asyraf (kiri) mengenai operasi mesin kerja kayu ketika melawat syarikat MA Land Resources Sdn Bhd, Kota Bharu, Kelantan.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Mandzri yang juga Ahli Parlimen Tenggara menambah, AET yang bersifat sebagai ‘Entry Point Project’ (EPP) itu turut membuka ruang kepada pekebun kecil untuk menceburi industri atau perniagaan baharu yang menjana pendapatan lumayan dan tidak terikat dengan industri getah semata-mata.

Dalam pada itu, beliau turut memberikan contoh tiga usahawan AET iaitu pengusaha madu kelulut, Nur Izzatie Zulkifli, 29; pengusaha pertukangan kayu, Muhammad Asyraf Muhammad Amin, 24 dan usahawan kerepek, Ahmad Asyraf Hakimi, 33, yang telah berjaya membuktikan kemampuan mereka untuk berjaya serta maju dalam bidang perniagaan masing-masing.

"Ketiga-tiga mereka ini merupakan antara usahawan di bawah inisiatif AET yang RISDA bantu dan diberikan bimbingan.

"Alhamdulillah, mereka memperolehi pendapatan lima angka setiap sebulan," ujarnya.

Sanggup tinggal kerjaya Jurutera, minat jadi usahawan

Ahmad Asyraf  (tengah) bersama Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib (kanan) menunjukkan pelbagai produk kerepek yang dihasilkan ZS Maju Products.


KOTA BHARU - Seorang peserta Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai seorang Jurutera hanya kerana mahu menjadi usahawan dan mengembangkan perniagaan kerepek.

Mengakui keputusan tersebut bukan mudah, namun Ahmad Asyraf Hakimi, 33, nekad untuk berbuat demikian di samping meneruskan legasi ibunya yang memulakan perniagaan itu, 24 tahun lalu.

"Ibu saya bermula menjadi usahawan kerepek dengan menghasilkan produk kerepek ikan bilis dan kuih buah rotan yang hanya dibuat di dapur rumah sahaja. Perniagaan ini telah berkembang yang mana ia diambil alih oleh saya pada tahun 2016.

"Daripada hanya dua produk, sekarang ini sudah mempunyai 11 jenis kerepek dan permintaan yang tinggi menyebabkan kami tidak menang tangan terutama pada musim perayaan," katanya ketika ditemui di Kampung Panggong, Pasir Puteh.

Tambah Ahmad Asyraf, beliau berterima kasih kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang telah banyak memberikan latihan, bimbingan serta bantuan kepadanya untuk mengembangkan lagi produk.

Malah, RISDA katanya berjaya membantu memperkenalkan produk kerepek keluaran syarikatnya, ZS Maju Products di Jepun dan Turkiye.

Pengalaman menjadi usahawan AET turut dikongsi Nur Izzatie Zulkifli, 29, yang mengusahakan penternakan lebah dan penghasilan madu kelulut di Kampung Membatu, Ketereh, di sini.

Nur Izzatie (kanan) bersama Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib (tengah) menunjukkan produk madu kelulut yang dihasilkan melalui inisiatif AET.


Graduan dalam bidang pengajian Bahasa Arab itu berkata, pada permulaannya beliau mengusahakan aktiviti itu pada skala kecil kerana menumpukan perhatian mencari pekerjaan mengikut kelulusan yang ada.

"Alhamdulillah, percubaan saya menjadi usahawan madu kelulut sudah bertahan sehingga enam tahun. Ketika ini, produk madu kelulut saya jenama Honey Zull berjaya dipasarkan di beberapa buah negara seperti Jordan, Arab Saudi, Jepun, Brunei dan Indonesia,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tanpa bantuan RISDA yang menyediakan dana RM10,000, latihan, bimbingan serta pensijilan halal dan pemasaran, perniagaan beliau tidak mungkin dapat berada di tahap pada hari ini.

Sementara itu, seorang lagi peserta AET, Muhammad Asyraf Muhammad Amin, 24, dari Kampung Bendang, Ketereh pula sudah mencapai pendapatan lima angka sebulan dengan mengusahakan perniagaan pertukangan kayu.

Memiliki diploma dalam teknologi berasaskan kayu, beliau mengakui mempunyai minat mendalam terhadap kerja-kerja pertukangan.

"Sebaik sahaja tamat pengajian pada tahun 2020, kebetulan bapa saya merupakan pekebun kecil dan mendapat dana bantuan (AET) daripada RISDA untuk memulakan perniagaan.

"Terima kasih RISDA kerana membimbing saya menjadi seorang yang bukan sahaja mampu menjana pendapatan sendiri, tetapi turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” ujarnya.

Tambah Muhammad Asyraf, syarikatnya iaitu MA Land Resources Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan pertukangan kayu seperti kabinet dapur, almari dan lain-lain serta mendapat permintaan seluruh Kelantan.