Syarikat kaut untung atas pekerja asing

Iklan
Zuhair (tengah) melihat senarai nama pekerja asing yang ditahan di sebuah kilang di Kulim semalam.

ALOR SETAR - Tindakan 18 syarikat yang tidak mengemukakan permohonan pemindahan sementara pekerja asing ke lokasi baharu membawa padah apabila sebahagian besar pekerja asing mereka ditahan Jabatan Imigresen Negeri Kedah di tapak pembinaan kilang di Kulim semalam.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, seramai 185 pekerja warga tempatan dan warga asing diperiksa dan hasilnya 145 warga asing ditahan kerana melanggar pelbagai kesalahan Akta Imigresen.

Iklan
Iklan

Menurutnya, risikan awal yang dilakukan mendapati kilang tersebut telah beroperasi sejak setahun lalu dengan mengajikan pekerja asing.

"Kami bertindak atas maklumat dan aduan orang awam dan berjaya menahan 70 warga Bangladesh, warga China (57), warga Vietnam (16) dan dua orang warga Pakistan.

Iklan

"Pemeriksaan juga mendapati masih ada syarikat tidak mengemukakan permohonan pemindahan sementara pekerja asing ke lokasi baharu berdasarkan kontrak perjanjian, secara teratur dan bilangan pekerja asing yang terlibat," katanya kepada media di Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Wisma Anak Bukit di Alor Setar hari ini.

Zuhair (tengah) melihat pasport yang dirampas bagi tujuan siasatan ke atas pekerja asing yang ditahan di sebuah kilang di Kulim semalam.

Zuhair berkata, syarikat-syarikat berkenaan membuat perjanjian di antara mereka dengan menghantar pekerja asing ke syarikat tertentu untuk mengaut keuntungan dengan lebih mudah tanpa mendapatkan kelulusan yang sah daripada KDN.

Iklan

Katanya, semua permohonan boleh dikemukakan ke ibu pejabat imigresen dan imigresen negeri.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti ke atas pekerja asing ini adalah tiada dokumen perjalanan yang sah dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/1963 serta telah melanggar syarat pas yang diberikan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Semua tahanan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik Kedah untuk siasatan dan tindakan susulan," katanya.