DBKL: Tiada pengusaha restoran kebal

Iklan
Tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha restoran yang degil dilaksanakan tiga kali sehari memberi tumpuan di 11 Parlimen di ibu negara.

KUALA LUMPUR - Tiada istilah ‘kebal’ terhadap peniaga-peniaga restoran yang bertindak meletakkan kerusi dan meja di luar premis apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini melaksanakan operasi penguatkuasaan besar-besaran di 11 Parlimen di ibu negara.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood, berkata, tindakan itu sebelum ini dilaksanakan secara rawak tanpa fokus sepenuhnya, namun kini ia digerakkan sebanyak tiga kali sehari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penguatkuasaan itu telah dimulakan sebelum kejadian pelanggan restoran maut dan cedera dirempuh kenderaan pacuan empat roda dalam kes berlaku di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan baru-baru ini.

"Di Kuala Lumpur kita memang tidak benarkan. Walaupun bukan diletakkan di tepi jalan, kita akan sita. Yang letak di petak-petak parkir pun tidak dibenarkan termasuk yang disewa kerana ia untuk kegunaan letak kereta sahaja.

Iklan

"Anggota penguatkuasa DBKL kini diarahkan memberi tumpuan penguatkuasaan terhadap pengusaha-pengusaha restoran yang degil ini khususnya melibatkan restoran beroperasi 24 jam.

"Tindakan dibuat bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kerana melibatkan halangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau menambah, tindakan sita serta merta akan dibuat sekiranya didapati kerusi dan meja diletakkan di luar premis dan pihak pengusaha restoran boleh menuntut barangan disita dalam tempoh sebulan sebelum dilupuskan.

"Kompaun maksima berjumlah RM2,000 boleh dikenakan, dan denda bagi menuntut barangan disita juga RM2,000 perlu dibayar untuk keluarkan barangan mereka. Jika tidak, kita anggap sebagai barang tidak dituntut dan akan dilupuskan selepas sebulan,” katanya.

Dalam kejadian pada Ahad lalu seorang wanita berusia 57 tahun maut manakala empat lagi cedera apabila dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbabas di sebuah restoran di Taman Equine, Seri Kembangan.

Pemandu kenderaan berkenaan dikenal pasti tidak mempunyai lesen memandu dan dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

[ARTIKEL BERKAITAN: Wanita maut, 4 cedera dirempuh ketika makan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu 4x4 rempuh pelanggan restoran tiada lesen memandu]