KUALA LUMPUR - Ribuan bangkai ikan terapung di permukaan air Taman Tasik Danau Kota di sini menyebabkan bau busuk serta mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap kualiti air di tasik berkenaan.
Keadaan itu dikongsi beberapa pengguna media sosial yang mendakwa kejadian itu berlaku sejak beberapa hari lalu.
Seorang pengguna Threads, @alifishakayob memaklumkan, aduan rasmi telah dikemukan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung keadaan tasik berkenaan.
"Diharapkan DBKL dapat menjalankan siasatan segera, melakukan kerja pembersihan serta mengambil langkah sewajarnya bagi mengawal pencemaran demi kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar," katanya menerusi hantaran berkenaan.
Perkongsian itu turut memaparkan nombor aduan DBKL yang dipercayai berkaitan laporan mengenai keadaan tasik terbabit.
Sementara itu, beberapa pengguna media sosial lain turut berkongsi kebimbangan mengenai kejadian itu.
Pemilik akaun @sofiasajap menerusi satu hantaran ringkas mempersoalkan punca kejadian yang menyebabkan sejumlah besar ikan ditemukan mati di tasik itu.
Dalam ruangan komennya, seorang pengguna, @athira_faiqah berpandangan kejadian itu mungkin berpunca daripada kekurangan oksigen terlarut di dalam air selepas hujan lebat.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada DBKL berhubung punca sebenar kejadian itu.