SERI KEMBANGAN - Pemandu kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang dipercayai melanggar lima orang awam di sebuah restoran di Taman Equine di sini malam tadi, didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, suspek berasal dari Sarawak itu dipercayai mabuk ketika memandu kenderaan milik syarikatnya bekerja.

“Suspek juga buruh berusia lingkungan 20an itu ditahan selepas melarikan diri selepas kejadian ditahan jam 1.43 pagi tadi.

Majikan lelaki itu membawanya untuk serah diri di  Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang selepas polis mengenal pasti pemilik kenderaan,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian mengaku terlibat dalam kejadian itu dan pemeriksaan dilakukan lelaki itu tidak mempunyai rekod lampau.

Terdahulu, seorang wanita maut manakala empat lagi cedera parah apabila kenderaan itu terbabas dan melanggar mangsa yang sedang makan di tepi jalan di hadapan sebuah restoran di sini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Wanita maut, 4 cedera dirempuh ketika makan]

Wanita yang maut dikenali sebagai Wong Sow Lin, 57 tahun. Manakala mangsa yang cedera dikenali sebagai  Wong Mei Hwa, 36; Lei Kok Lu,  71; Leong Eng How, 35 dan warga Myanmar, Vial Sian Mung, 33.

Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan datang dari Jalan 9C membelok ke Jalan 9B sebelum merempuh kesemua mangsa.

Kemalangan turut melibatkan tiga buah kenderaan milik pengunjung termasuk sebuah SUV jenis Lexus yang mengalami kerosakan hampir 30 peratus dan Perodua Myvi serta Perodua Bezza yang mengalami kerosakan hampir 10 peratus.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu rempuh pelanggan diberkas]