SHAH ALAM - Walaupun terpaksa bertongkat setelah menjalani pembedahan tisu mati di tulang kaki, seorang bapa tidak pernah menjadikan cabaran itu sebagai alasan untuk mengalah demi kelangsungan hidup anaknya.
Kisah kegigihan pengusaha perniagaan kek lapis, Mohamed Haffiez Mansor Taridi, 42 yang cekal membanting tulang bagi menampung kos rawatan puteri sulungnya, Qaireen Adriana Tihani, 15, yang menghidap penyakit jantung kronik sejak lahir sebelum ini tular di media sosial hingga meraih perhatian ramai.
Menurut Mohamed Haffiez, keadaan kesihatan anaknya itu dilaporkan tidak menentu apabila sudah empat kali berturut-turut dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan sejak Mac lalu.
"Anak sulung saya menghidap penyakit jantung kronik sejak lahir lagi.
"Bagi tahun ini sahaja, dia terpaksa keluar masuk hospital sejak Mac sehingga sekarang dan masih lagi mendapatkan rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Mohamed Haffiez berkata, dirinya juga disahkan menghidap penyakit Haglund's Deformity pada September 2025, di mana keadaan struktur tulang tumit pada kedua-dua belah kakinya tidak normal.
Menurutnya, keadaan tersebut membataskan pergerakan fizikal dan perlu dirujuk kepada doktor pakar setiap bulan sebelum menjalani pembedahan tulang.
"Saya baru sahaja selesai menjalani pembedahan di bawah lutut untuk membuang tisu-tisu mati akibat jangkitan dan bengkak pada April lalu.
"Kesan daripada pembedahan itu, pergerakan saya kini terbatas. Saya terpaksa menggunakan tongkat dan urusan solat harian pun perlu dilakukan di atas kerusi," katanya.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, fokus utama ketika ini adalah membahagikan masa antara komitmen menjaga anak di hospital dan menguruskan perniagaan di rumah.
"Buat masa ini, saya langsung tidak berehat kerana perniagaan kek ini merupakan sumber pendapatan utama keluarga.
"Bila anak sulung dimasukkan semula ke hospital, rutin saya bertukar menjadi sangat padat. Setiap malam saya akan ke hospital untuk bermalam dan menjaga anak.
“Manakala pada waktu siang pula saya akan bergegas balik ke rumah untuk menguruskan proses pengeposan dan menyiapkan tempahan kek," jelasnya.
Dalam masa sama, Mohamed Haffiez menyatakan rasa syukur kerana ahli keluarganya saling membantu meringankan beban pengurusan perniagaan itu.
“Isteri saya akan segera mengambil alih tugas menjaga anak di hospital selepas habis kerja dan pada hari cuti.
“Manakala anak-anak yang lain membantu uruskan kerja harian di rumah,” katanya.
Ditanya mengenai kos rawatan puteri sulungnya, Mohamed Haffiez menjelaskan telah menyelesaikan deposit terapi tersebut.
Mohamed Haffiez turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sentiasa menyalurkan bantuan sejak dahulu lagi.
"Alhamdulillah, saya merupakan asnaf di bawah Lembaga Zakat Selangor.
“Pihak LZS dan JKM sangat membantu serta sentiasa mengambil berat tentang keadaan kebajikan keluarga saya dari dulu hingga sekarang," ujarnya.