Scorpine: Razak Baginda sedia kerjasama dengan SPRM

Iklan
Abdul Razak Baginda
KUALA LUMPUR - Bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda akan memberi kerjasama untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian kapal selam, Scorpene yang mencetuskan kontroversi sebelum ini.

Memetik laporan Malaysiakini, Abdul Razak berkata, beliau bersedia dipanggil untuk siasatan tersebut.

"Dalam apa jua keadaan saya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya dipanggil, dalam sebarang siasatan," katanya kepada portal berita berkenaan, hari ini.

Abdul Razak diminta mengulas isu berkenaan selepas sumber Malaysiakini mendedahkan SPRM dijangka memanggil beberapa pihak termasuk dirinya bagi disoal siasat berhubung pembelian kapal selam berkenaan.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan pembelian kapal selam Scorpene berjalan lancar ]

SPRM sebelum ini membuka semula siasatan berhubung dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam berkenaan.

Razak merupakan salah seorang yang dikaitkan dalam kes berkenaan dan didakwa menerima bayaran dari pembelian Scorpene dari pihak pembekal di Perancis pada 2002.

Urusan pembelian itu melibatkan pembekal dari Sepanyol, Izzar Construcciones Navales dan syarikat perkhidmatan Malaysia, Perimekar Sdn Bhd yang dimiliki Razak.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, sebelum ini juga berkata bahawa penubuhan sebuah pasukan petugas akan di bincang dalam Kabinet bagi menyiasat dakwaan rasuah membabitkan pembelian dua kapal selam Perancis pada 2002 ketika bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pertahanan.

Pada 2002, Najib menyelia pembelian dua kapal selam jenis Scorpene dan satu kapal selam jenis Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis, DCN International SA, bernilai hampir €1 bilion (AS$1.17 bilion).

Pada Mei, sebaik sahaja kerajaan baharu dibentuk, Mohamad Sabu berkata beliau perlu mendapatkan gambaran penuh berkaitan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum meneliti butiran isu dan skandal dalam ATM, termasuk pembelian kapal selam Scorpene itu.