KDDM tak pernah lantik ejen kutip dana masjid

Iklan
Dari kiri Azahari, Mohd Idrus dan Noorazmir ketika mengadakan sidang media di Maahad Tahfiz Intan dekat Kampung Teluk Sungai Layar, hari ini.

SUNGAI PETANI - Pihak Kompleks Dakwah Darul Murtadha (KDDM) tidak pernah melantik mana-mana ejen, pertubuhan atau individu mengutip dana masjid selain menggunakan nama pertubuhan itu.

Pengerusinya, Mohd Idrus Ahmad@ Ab Kadir berkata, bagi mengatasi berlakunya pecah amanah, urusan pembinaan masjid mahupun pengurusan kewangan telah pun diserahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Khas dilantik melalui Penghakiman Persetujuan di Mahkamah Tinggi Alor Setar, 24 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Jawatankuasa Khas yang dianggotai tiga individu iaitu Syeikh Aminudin Abd Rahim, Ustaz Hanif Ghazali dan Ustaz Ahmad Fadzli Hashim akan menguruskan proses pembinaan masjid termasuklah urusan pengeluaran wang tunai dari akaun KDDM.

"Melalui apa yang dipersetujui, kesemua urusan mestilah melalui Jawatankuasa Khas ini selain mengharapkan orang ramai peka dengan kutipan dana masjid menggunakan nama selain KDDM adalah tiada kaitan dengan kompleks ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Maahad Tahfiz Intan dekat Kampung Teluk Sungai Layar, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Program KDDM, Azahari Yusof dan peguam mewakili kedua-duanya, Noorazmir Zakaria dari Tetuan Akram Hirzi Azad & Azmir.

Iklan

Menurut Mohd Idrus, matlamat utama pendedahan adalah bertujuan menafikan dakwaan berlaku pecah amanah dana kutipan masjid membabitkan dirinya.

"Pendedahan ini diharapkan mampu melegakan orang awam kerana pengurusan pembinaan masjid dan dana telah diserahkan sepenuhnya kepada tiga individu yang dilantik sepertimana direkodkan Mahkamah Tinggi Alor Setar," katanya.

Menurut Mohd Idrus, kes berkenaan difailkan ke mahkamah sebelum ini selepas timbul beberapa isu membabitkan pengurusan dana kompleks berkenaan yang membolehkan pihaknya mendapatkan Perintah Injunksi Ad Interim pada 16 April 2019.

"Perintah ini bertujuan menghalang mana-mana pihak membuat atau membina masjid menggunakan nama KDDM memandangkan cadangan pembinaan sebelum ini telah dilakukan di kawasan tidak dipersetujui dan tapak masjid belum mendapat kelulusan.

"Perintah ini juga bertujuan menghalang mana-mana pihak daripada menggunakan nama pertubuhan lain bagi mengutip dana bagi pihak KDDM.

"Setakat terkini, dana terkumpul melalui Akaun Maybank Kompleks Dakwah Darul Murtadha bernombor 552059800910 berjumlah RM3.348 juta.

"Kita mengharapkan dengan penubuhan Jawatankuasa Khas ini mampu melegakan orang ramai yang gusar apabila terdapat dakwaan mengatakan berlaku penyelewengan.

"Jadinya kita hendak memaklumkan orang awam dan penderma bahawa kita akur duit dalam akaun kompleks telah diperintahkan untuk pembinaan masjid semata-mata bukanlah projek sampingan lain bagi mengelakkan berlakunya pecah amanah," katanya.

Difahamkan, isu berkenaan tercetus apabila masjid yang dirancang dibina di KDDM masih belum dapat dilaksanakan pembinaannya biarpun dana kutipan yang dibuka sejak 2018 sudahpun mencukupi.