'Adik luah rasa bimbang sebelum kapal kargo hilang'

Iklan

KOTA KINABALU -"Kak, hari-hari kami tidur pakai jaket keselamatan,” luah Derrent Littor, 22, anak kapal kapal kargo MV Dai Cat 06 kepada kakaknya Lyli.

Lyli, 28, berkata, adiknya yang mula bertugas sebagai kelasi kapal tersebut pada 28 Oktober lepas, meluahkan kebimbangan itu apabila kargo muatan besi mula dimuatkan ke dalam kapal tersebut sebelum ia hilang sejak 9 Januari lepas.

Iklan
Iklan

Katanya kehilangan kapal kargo itu membuatkan keluarganya tertanya-tanya apa terjadi kepada Derrent dan anak kapal yang lain, sekali gus meminta supaya pemilik kapal, ejen dan pemilik kargo kapal itu tampil menjelaskan mengenai situasi kapal tersebut serta bekerjasama dalam usaha pencarian.

Iklan

"Saya mohon supaya semua pihak beri kerjasama dan perhatian kepada usaha pencarian ini kerana melibatkan nyawa lima orang yang keluarga sedang tunggu kepulangan mereka,” katanya pada sidang media di Kampung Melawa, di sini pada Isnin.

Iklan

Pada 9 Januari lepas, kapal kargo didaftarkan di Malaysia itu yang membawa muatan batang paip bernilai RM726,205 berserta lima kru, dipercayai hilang di perairan Indonesia dan laporan berhubung kejadian itu dibuat ejen kapal tersebut pada hari yang sama.

Selain Derrent, dua lagi anak kapal warga Malaysia terdiri pegawai kanan Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24, dan kelasi Mohammad Sudeh Sudin, 20, manakala dua lagi kru warga Indonesia iaitu nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, serta ketua jurutera Damai Papane Ole, 57.

Sandra Littor, 32, (depan dua, kiri) bersama adiknya Lyli Littor, 28, (depan dua, kanan) serta saudara terdekat menunjukkan gambar Derrent Littor, 22, anak kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang di perairan Indonesia sejak 9 Januari lepas. - Foto Bernama.

Lyli, yang bertugas dalam sektor perbankan, berkata, kali terakhir adik bongsunya itu dapat dihubungi pada 1 Januari lepas ketika kapal tersebut berada di sekitar kawasan Singapura, tetapi tiada perkara pelik yang dibualkan adiknya bersama ahli keluarga.

Menurutnya sepanjang bertugas sebagai kelasi kapal tersebut, Derrent dakwanya tidak gembira dan meluahkan beberapa kebimbangan mengenai kapal itu, tetapi adiknya itu tetap meneruskan tugas bagi memenuhi kontrak bersama syarikat berkenaan yang akan tamat pada April ini.

Seorang lagi kakak Derrent, Sandra, 32, berkata, beliau berharap adik bongsunya daripada enam beradik itu akan selamat pulang ke pangkuan keluarga walau apapun kejadian yang menimpa.

"Derrent mengambil kerja ini kerana beliau mempunyai perancangan masa depan dalam kariernya sebagai pelaut. Saya mohon pada semua agar jangan pinggirkan kes ini, tolong cari dan beri kerjasama untuk bawa pulang anak kapal ini,” katanya. - Bernama.