SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan dan Terengganu dituntut menghentikan kenyataan bersifat defensif berhubung dakwaan pelanggaran peraturan melibatkan pemandu perkhidmatan e-hailing di kedua-dua negeri berkenaan.
Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) berkata, agensi itu digesa segera melaksanakan operasi penguatkuasaan yang menyeluruh, telus, konsisten dan tanpa kompromi terhadap semua pemandu perkhidmatan e-hailing.
“Kami terpanggil untuk memberikan reaksi terhadap dua kenyataan media JPJ Kelantan dan Terengganu berhubung dakwaan tersebut, yang mana berdasarkan laporan disiarkan antara lain menyebut JPJ hanya akan mengambil tindakan bersandarkan kepada aduan orang awam.
“Kami agak kecewa dengan kenyataan berkenaan kerana ia secara tidak langsung menggambarkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta semua peraturan dan undang-undang berkaitan hanya akan melaksanakan penguatkuasaan apabila terdapat aduan.
“Ini sekali gus memberi gambaran bahawa agensi berkenaan lebih cenderung kepada tindakan reaktif, bukan pencegahan sebagaimana diharapkan oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kenyataan itu turut memetik ayat dari laman web JPJ yang menyatakan objektif agensi tersebut antara lain ialah untuk menguatkuasa dan mentadbir undang-undang pengangkutan jalan secara komited dan berintegriti demi melahirkan masyarakat yang mempunyai budaya kepatuhan terhadap peraturan jalan raya.
“Objektif ini dengan jelas bertentangan dengan kedua-dua kenyataan JPJ Kelantan dan Terengganu yang seolah-olah menggambarkan bahawa pelanggaran undang-undang hanya wujud apabila laporan dibuat, manakala jika tiada laporan diterima, pelanggaran dianggap tidak berlaku.
“Justeru, kenyataan bahawa tiada sebarang salah laku dikesan hanya membawa kepada dua kemungkinan: sama ada penguatkuasaan tidak dilaksanakan secara bersungguh-sungguh atau wujud kegagalan nyata dalam pemantauan operasi pemandu e-hailing di negeri-negeri berkenaan.
“Keadaan ini bukan sahaja mencemarkan integriti JPJ sebagai badan penguat kuasa, malah secara langsung menindas pemandu e-hailing yang mematuhi undang-undang serta menanggung kos pematuhan sepenuhnya, sementara pelanggar peraturan terus dibiarkan beroperasi tanpa sebarang tindakan kerana ketiadaan aduan,” katanya lagi.
Menurut kenyataan itu, lebih membimbangkan, kegagalan penguatkuasaan turut memberi implikasi terhadap keselamatan dan kebajikan pengguna perkhidmatan e-hailing yang sepatutnya dilindungi melalui sistem kawal selia dan penguatkuasaan yang tegas.
“Sehubungan itu, kami menuntut agar JPJ Negeri Kelantan dan Terengganu menghentikan kenyataan bersifat defensif serta segera melaksanakan operasi penguatkuasaan menyeluruh tanpa kompromi,” tegasnya.