TAWAU - Seorang lelaki maut manakala tiga lagi terselamat selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka hanyut dibawa arus banjir ketika melalui jalan raya yang dinaiki air dalam kejadian di Kampung Sungai Udin di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, empat individu dihanyutkan arus deras apabila kenderaan pacuan empat roda yang membawa dua motosikal cuba meredah laluan berkenaan.
Bagaimanapun, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an disahkan lemas sebelum mayatnya ditemukan pada pagi Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.34 malam.
Menurutnya, seramai lapan anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 45 kilometer dari BBP Tawau.
"Menurut pemanggil, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa dua motosikal cuba melalui jalan yang dinaiki air sebelum dihanyutkan arus banjir.
"Dalam kejadian itu, empat mangsa terlibat iaitu dua berada di dalam pacuan empat roda, manakala dua lagi merupakan penunggang motosikal yang menumpang di belakang kenderaan tersebut.
"Tiga mangsa dilaporkan selamat, manakala seorang lagi hilang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Susulan kejadian itu, Jemishin berkata, pasukan bomba yang tiba di lokasi segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Pasukan membuat pencarian di tebing sungai dengan radius satu kilometer, namun mangsa tidak ditemui.
"Pada jam 7.15 pagi, mayat mangsa akhirnya ditemukan oleh pekerja ladang kira-kira 800 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hanyut,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa keluar menggunakan pengusung oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.44 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.