ISKANDAR PUTERI – Seorang pekerja kilang di Singapura maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah lori yang mengubah haluan dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 11.5 Lebuhraya Linkedua, arah utara di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian berlaku pada jam 4 petang dan melibatkan sebuah lori serta dua motosikal jenis Yamaha Tracer 9 GT dan Honda CBR 650.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu lori yang sedang memandu di lorong tengah telah mengubah haluan ke lorong kanan.
“Akibatnya, mangsa berusia 29 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Tracer 9 GT di lorong kanan telah melanggar bahagian belakang lori terbabit.
“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh di lorong kanan sebelum dilanggar sebuah lagi motosikal jenis Honda CBR 650 yang tidak sempat mengelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, perlanggaran itu turut menyebabkan penunggang Honda CBR 650 terjatuh di lorong sama.
Menurutnya, penunggang Yamaha Tracer 9 GT mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia, manakala penunggang Honda CBR 650 hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanan.
“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
“Kami turut meminta saksi kejadian yang mempunyai maklumat agar menghubungi kaunter aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri di talian 07-5101322 bagi membantu siasatan,” katanya.