Polis strok dipapah ke pusat mengundi

Iklan
Che Mustapa (tiga dari kiri) dipapah anggota-anggota ketika hadir untuk membuang undi di pekarangan Taska IPK Kelantan, Kota Bharu.

KOTA BHARU - Biarpun dalam keadaan bertongkat akibat strok, seorang anggota polis tetap gigih menunaikan tanggungjawab mengundi awal di pusat pengundian di Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini pada Selasa.

Ketua Operasi Cawangan Pengangkutan IPK Kelantan, Sarjan Mejar Che Mustapa Che Ahmad,59, tiba di pusat pengundian itu pada jam 9.50 pagi dengan dibawa menggunakan kenderaan polis dari rumahnya di Kedai Mulong, di sini.

Iklan
Iklan

"Saya kena serangan strok pada sebelah kiri badan sejak enam bulan lalu dan sekarang sedang bercuti sakit.

"Walaupun dalam keadaan tak sihat, saya tetap menunaikan kewajipan mengundi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Taska IPK Kelantan, di sini, pada Selasa.

Iklan

Che Mustapa dipapah keluar dari kereta oleh dua anggota lain menuju ke tempat membuang undi.

"Saya berharap akan segera pulih untuk kembali bekerja sebelum pencen setahun lagi.

Iklan

"Saya menasihatkan semua yang layak supaya turun padang bagi menunaikan tanggungjawab untuk memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini,” katanya.

Che Mustapa (tengah) dibantu dua anggota menunjukkan jari telunjuk yang berdakwat selepas selepas mengundi awal.

Keadaan di pusat pengundian awal itu juga bertukar hiba apabila beberapa anggota turut bersalam dan memeluknya sebelum dia beredar selepas selesai mengundi.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan, Fakhrul Razi Ab Wahab berkata, jumlah pengundi awal di Kelantan seramai 11,061 orang melibatkan anggota keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan isteri.

"Pemilih Awal bagi PDRM seramai 4,282, PGA (653) dan ATM serta isteri (6,126).

"Suasana pengundian awal setakat tengah hari berjalan lancar dengan pemilih awal bagi yang positif Covid-19 tahap satu dan dua membuang undi pada dua jam terakhir proses mengundi,” katanya.