MICF saji program menarik

Iklan
Munir membuat gimik pelancaran MICF sambil disaksikan oleh Dayang (dua, kiri).
KUALA LUMPUR - Pesta Kanak-Kanak Islamik Malaysia (MICF) yang berlangsung semalam hingga 2 Disember ini mempromosikan pendidikan islamik yang holistik menerusi pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurriyat Ventures Sdn Bhd, Dayang Lily Maznah Abang Muas berkata pada penganjuran edisi keenam kali ini, pihaknya mensasarkan jumlah kehadiran 20,000 hingga 30,000 pengunjung.

Dayang berkata, penganjuran MICF kali ini juga turut diselitkan dengan pengisian menarik seperti sesi forum khas secara percuma kepada ibu-bapa yang hadir.

"Kita akan ada forum percuma selama tiga hari dimana panelis berpengalaman akan memberikan input berguna kepada ibu-bapa mengikut topik yang telah disediakan,” katanya selepas pelancaran program berkenaan di Masjid Wilayah Persekutuan, semalam.

Hadir sama sewaktu majlis perasmian program terbabit adalah Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Munir Md Salleh.

Dayang berkata, pihaknya turut membawa kelainan pada penganjuran kali ini menerusi pelbagai aktiviti antaranya Larian Maya MICF (MVR) sejauh 5 kilometer.

"Konsep MVR ini sama seperti larian biasa cuma ia boleh dilakukan dimana-mana dan pada bila-bila masa sama ada di dalam atau pun luar negara.

"Peserta hanya perlu mendaftarkan diri mereka dan wang berkenaan juga akan disalurkan kepada Pertubuhan Kemajuan Kanak-Kanak Zurriyat Malaysia untuk program buat anak kurang bernasib baik,” katanya.

Dalam pada itu, penganjuran MICF kali ini juga akan diserikan dengan program #QuranHour untuk kanak-kanak menerusi kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

Selain aktiviti untuk kanak-kanak, terdapat juga ruang pameran pelbagai produk tempatan.

Selain itu, pengunjung juga boleh ke ruang jualan Kumpulan Media Karangkraf bagi mendapatkan bahan bacaan dengan harga serendah RM1.

Terdapat juga promosi buku Didi & Friend, Omar dan Hana serta Al Quran dengan potongan harga sebanyak 20 peratus.