SHAH ALAM - Siapa sangka sebuah Perodua Kancil lama yang pernah tersadai di sebuah rumah di Teluk Panglima Garang kini menjadi perhatian ramai selepas diubah suai menjadi 'buggy'.
Kenderaan milik Hashim Yusuf, 63, atau Wak Hashim itu tular di media sosial apabila digunakan membawa jemaah ke sebuah surau ketika berlangsungnya program ceramah agama di kawasan berkenaan.
Anaknya, Rabiatul Aimi Hashim, 36, berkata, bapanya sanggup membelanjakan antara RM2,000 hingga RM3,000 bagi mengubah suai kenderaan lama yang sebelum ini hanya diparkir di rumah.
"Ayah dapat idea untuk mengubah suai kancil yang tidak digunakan itu selepas melihat konsep yang hampir sama sebelum menghantarnya ke bengkel untuk kerja-kerja kimpalan dan pemasangan rangka besi," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, video Wak Hashim mengambil jemaah menghadiri satu ceramah dikongsikan anak perempuannya menerusi akaun TikTok mrs RH meraih 596,400 tontonan dengan 50,900 tanda suka.
Menurutnya, kerja pengubahsuaian itu turut mendapat bantuan beberapa individu di kampung yang sanggup memenuhi permintaan bapanya bagi merealisasikan kenderaan unik tersebut.
Rabiatul Aimi berkata, kebetulan pada hari kejadian terdapat ceramah agama yang disampaikan pendakwah terkenal, Ustazah Asma Harun di Surau Raudhatul Jannah.
Katanya, bapanya kemudian mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan percuma menghantar jemaah yang meletakkan kenderaan jauh dari kawasan surau.
"Biasanya kalau ada ceramah, ramai yang terpaksa parkir jauh dan berjalan kaki. Jadi ayah akan tunggu berhampiran kawasan sekatan jalan dan mengambil jemaah untuk dihantar terus ke pintu masuk surau," ujarnya.
Kongsinya lagi, sepanjang program berlangsung, bapanya berulang-alik membawa jemaah tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Rabiatul Aimi mengakui terharu apabila ramai netizen meninggalkan komen positif dan menghargai usaha bapanya membantu jemaah.
"Kalau ada program di masjid atau surau selepas ini, kemungkinan ayah akan buat perkara yang sama juga. Dia memang jenis yang suka menolong orang dan tidak berkira," katanya.
Kongsi Rabiatul Aimi, 'buggy' terbabit juga akan digunakan untuk menghantar penduduk setempat secara percuma ketika Mini Karnival Masjid Nurul Iman pada 27 Jun nanti.