SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa umat Islam mengutamakan perpaduan dan mengelakkan pertelingkahan terbuka yang boleh mendedahkan kelemahan sendiri kepada pandangan umum.
Baginda bertitah, teguran dan nasihat hendaklah disampaikan secara berhemah manakala isu yang timbul pula perlu dibincangkan melalui saluran sesuai bagi mencari penyelesaian terbaik.
"Janganlah perkara yang boleh diselesaikan secara baik dibawa ke ruang awam sehingga mencetuskan pertelingkahan terbuka yang akhirnya hanya mendedahkan kelemahan umat dan bangsa kepada pandangan umum," titah baginda
Baginda bertitah demikian dalam perutusan sempena Ma'al Hijrah 1448 Hijrah menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office pada Selasa.
Sultan Selangor turut mengingatkan perpecahan dan pertelingkahan terbuka boleh memberi gambaran negatif serta membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mengambil kesempatan daripada kelemahan yang dipamerkan.
Menurut baginda, keadaan sedemikian tidak membawa manfaat kepada mana-mana pihak, malah berisiko menjejaskan usaha memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, baginda mengajak umat Islam mengambil semangat hijrah sebagai pemangkin perubahan ke arah yang lebih baik dengan memperkukuhkan perpaduan, meningkatkan sikap toleransi serta mendahulukan kepentingan agama, bangsa dan negara berbanding kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.
Baginda berharap tahun baharu 1448 Hijrah menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan dalam mempererat keharmonian dan kesejahteraan rakyat demi masa depan yang lebih kukuh dan bersatu.
"Beta masih mengingati pesanan Almarhum Ayahanda Beta yang sering menasihatkan supaya kita tidak “wash dirty linen in public”.
"Jika terdapat sebarang masalah, perbezaan pandangan atau perkara yang perlu diperbetulkan, maka suarakanlah dengan penuh hikmah dan adab.
"Jika mahu memberi nasihat atau teguran, lakukanlah dengan cara yang baik dan berhemah," titah baginda.