Benarkan polis wanita bertudung sumbangan paling diingati Tokoh Maal Hijrah Selangor

Iklan
Abdul Aziz menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada malam Selasa.

SHAH ALAM - Kebenaran kepada anggota polis wanita beragama Islam memakai tudung ketika bertugas antara sumbangan paling diingati Tokoh Maal Hijrah Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sepanjang berkhidmat dalam sektor awam.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berusia 76 tahun itu berkata, usaha itu dilaksanakan ketika beliau memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) lebih 20 tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika itu anggota polis wanita Muslim tidak dibenarkan memakai tudung sebagai sebahagian daripada uniform rasmi ketika menjalankan tugas.

"Susulan itu, saya mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Timbalan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Noh Omar bagi mencari penyelesaian terbaik," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Selangor yang disampaikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Sambutan Ambang Maal Hijrah 2026 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada malam Selasa.

Menurut Abdul Aziz, cadangan yang dikemukakan mendapat sokongan kerajaan sebelum keputusan membenarkan anggota polis wanita Islam bertudung ketika bertugas dilaksanakan.

Iklan

"Alhamdulillah, cadangan itu diterima dan dasar berkenaan kekal diamalkan sehingga hari ini," katanya.

Terdahulu, Abdul Aziz yang juga bekas Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Selangor tahun ini atas jasa serta sumbangannya dalam perkhidmatan awam di peringkat Persekutuan dan negeri selama lebih 30 tahun.

Anak kelahiran Sabak Bernam itu berkata, beliau tidak menyangka segala usaha dan tanggungjawab yang dipikul sepanjang kerjaya mendapat perhatian sehingga melayakkannya menerima anugerah berkenaan.

Katanya, pengiktirafan itu menjadi antara hadiah paling bermakna dalam kehidupannya selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan.

"Lebih 10 tahun saya berkhidmat di Selangor sebagai peguam kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dan Pengerusi MAIS," ujar beliau.