SMKA, Maahad Tahfiz dikenakan PKPD bermula 23 April

Iklan
Ismail Sabri

SHAH ALAM - Dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru, Johor dan Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Asriah di Pasir Mas, Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat sehingga 6 Mei depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan sebanyak 228 ujian saringan dan merekodkan 13 kes positif Covid-19 di SMKA Johor Bahru.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebanyak 46 ujian saringan pula dijalankan di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Asriah dan mendapati 28 kes positif telah direkodkan.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat tindakan pengawalan jangkitan, seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, PKPD di beberapa kawasan telah ditamatkan pada Jumaat iaitu di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, Taman Permata, Taman Seri Labuk di daerah Sandakan.

"Setakat ini, KKM telah melaksanakan 142 ujian saringan di ILP dan sebanyak lapan kes positif direkodkan. Sebanyak 142 ujian saringan dilakukan di Taman Permata dan 13 daripadanya positif, manakala 120 lagi ujian saringan di Taman Seri Labuk dan enam daripadanya disahkan positif.

Iklan

"Kes menunjukkan penurunan dan kluster adalah terkawal di ketiga-tiga lokaliti ini, manakala semua kes positif telah menerima rawatan,” ujarnya.

Beliau berkata, PKPD Kampung Gayang, Tuaran, Sabah turut ditamatkan pada Jumaat seperti yang dijadualkan.

Menurutnya, KKM telah melakukan sebanyak 1,425 ujian saringan di kampung berkenaan dan daripada jumlah itu secara kumulatifnya sebanyak 36 kes positif direkodkan.

"KKM juga mengesahkan bahawa kes telah menurun di kawasan itu dan tiada lagi sampel ujian menunggu keputusan, manakala semua kes positif telah dirawat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, PKPD Ladang Leepang, Ladang Laukin dan Kampung Inoi, Rompin, Pahang pula dijadualkan tamat pada 28 April ini.

"Sebanyak 312 ujian saringan dilakukan dan 29 daripadanya positif. KKM juga mengesahkan tiada lagi sampel ujian menunggu keputusan dan kes terakhir dilaporkan ialah pada 15 April melibatkan enam kes.

"Semua kontak telah dikenal pasti dan diasingkan, manakala semua penduduk dalam kawasan Ladang Leepang dan Ladang Laukin telah disaring dan keputusannya negatif,” katanya.