Rusuhan kuil: Muhyiddin gesa PDRM siasat secara terperinci

Iklan
Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil wajar untuk mengawal keadaan dan menyiasat insiden pergaduhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya secara terperinci.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mana-mana suspek yang didapati melanggar undang-undang perlu dibawa ke muka pengadilan.

"Saya meminta semua pihak agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengawal keadaan dan menjalankan siasatan menurut peruntukan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak agar tidak mengambil apa-apa tindakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh membakar sentimen perkauman dan menjejaskan ketenteraman awam.

"Saya memandang serius insiden ini dan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba menganggu-gugat keharmonian dan keamanan negara," katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Sejam padam kebakaran kenderaan di kuil ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Insiden rusuhan tidak babit unsur perkauman ]


Berhubung insiden kekecohan itu difahamkan berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil.

Berdasarkan fakta, kuil tersebut sepatutnya dipindahkan pada 22 November lalu berdasarkan arahan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Mac 2014.

Empat pihak terlibat telah bersetuju memindahkan kuil tersebut dan menyerahkan kembali tapak kuil dalam keadaan kosong kepada pemilik tanah.

Empat pihak terlibat dalam penghakiman berkenaan ialah kerajaan negeri, pemilik tapak kuil berkenaan One City Development Sdn Bhd (One City) serta dua individu yang mendakwa pentadbir kuil tersebut, K. Chellappa dan M. Nagaraju.

Kerajaan negeri turut menyerahkan tanah seluas kira-kira 0.4 hektar (satu ekar) yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi asal kuil.

One City juga menyumbangkan RM1.5 juta kepada pihak kuil sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian.

Bagaimanapun, ada pihak terus menentang usaha memindahkan kuil itu yang dilaporkan telah wujud sejak 1891.

Sebelum ini berhubung isu berkenaan polis telah mengesahkan kejadian rusuhan itu tidak melibatkan isu perkauman, sebaliknya pergaduhan antara dua kumpulan.