SHAH ALAM - Majoriti pengguna media sosial melahirkan pandangan bersetuju supaya peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dikembalikan selepas dimansuhkan beberapa tahun lalu.
Hasil tinjauan undian (poll) yang dijalankan oleh Sinar Harian di pelbagai platform media sosial bermula 12 Januari menunjukkan lebih 89 peratus daripada 1,427 responden menyokong peperiksaan awam bagi murid Tahun Enam dan Tingkatan 3 itu dilaksanakan semula.
Undian yang dijalankan selama 24 jam itu di platform YouTube mencatatkan sebanyak 91 peratus responden (838 undi) menyatakan setuju agar peperiksaan UPSR dan PT3 dikembalikan manakala sembilan peratus (83 undi) tidak bersetuju.
Undian di Instagram pula menunjukkan 88 peratus pengguna (335) turut menyatakan pandangan sama mahu kedua-dua peperiksaan itu dikembali dilaksanakan di sekolah dan 12 peratus pengguna (46) tidak bersetuju.
Sementara itu, di Facebook Sinar Harian, keputusan menunjukkan 87 peratus iaitu 50 undi menyokong cadangan itu dan 12 peratus yang mewakili tujuh pengguna menolak usaha tersebut.
Di aplikasi X, sokongan terhadap pelaksanaan itu juga sangat tinggi apabila mencatatkan 92 peratus daripada keseluruhan 24 undi menyatakan persetujuan manakala lapan peratus mewakili dua undi tidak bersetuju.
Di Threads mendapati 77 peratus mewakili 34 undian bersetuju manakala 23 peratus melibatkan 10 undian menyatakan rasa tidak setuju peperiksaan tersebut kembali dilaksanakan di sekolah.
Minggu lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan bagi mengkaji keperluan pelaksanaan UPSR dan PT3 selepas mengambil kira permintaan ibu bapa yang masih mahu peperiksaan berkenaan dipertimbangkan semula.
Beliau memaklumkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan terus dilaksanakan dan diperkukuh sebagai sebahagian daripada usaha berterusan KPM bagi menambah baik sistem penilaian murid di negara ini sementara kajian terhadap dua peperiksaaan awam itu dijalankan.
UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 pada 2022, sebelum kedua-duanya digantikan dengan PBS.