PUTERI Umno kini menghadapi saat genting bagi memastikan Umno terus menjadi pilihan majoriti rakyat pada PRU14, yang dilabel oleh pelbagai pihak sebagai ‘ibu segala pilihan raya’.

Semakin dekat PRU14, semakin banyak isu yang akan ditimbulkan pelbagai pihak bagi memastikan Umno tumbang buat kali pertama dalam sejarah PRU sejak parti itu bertanding pada 1955.

Justeru, Perhimpunan Agung Umno 2017 dilihat sebagai medan terakhir bagi semua ahli parti kembali bersama dan merapatkan saf menunjukkan taat setia mereka kepada parti.

Sebagai komponen paling muda dalam Umno, Puteri juga menggalas tanggungjawab besar bagi menarik sokongan majoriti rakyat terhadap parti, dan sokongan itu diterjemahkan dalam bentuk undi.

Ikuti kupasan Ketua Puteri Umno, DATUK MAS ERMIEYATI SAMSUDIN mengenai tugas Puteri dalam Perhimpunan Agung Umno 2017 dan PRU14 bersama wartawan, MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS.

Setakat ini, berapakah jumlah terkini keahlian Puteri Umno?

Sehingga Ogos lalu, keahlian Puteri Umno di seluruh negara berjumlah 390,843 orang.  Untuk menjadi ahli Puteri, seseorang wanita perlu berusia 18 hingga 35 tahun. Ahli Puteri secara automatik akan jadi ahli Wanita Umno sekiranya mereka berusia 36 tahun.

Bagaimanapun, jika ada Puteri yang memegang jawatan dalam bahagian mereka walaupun telah berusia 36 tahun, mereka akan terus kekal sebagai ahli Puteri.

Mencari wanita untuk jadi ahli  bukannya satu pekerjaan bermusim. Ahli Puteri sentiasa mencari wanita dalam kalangan belia untuk diajak sebagai ahli baru.

Walaupun saya meletakkan sasaran keahlian Puteri yang lebih tinggi, tetapi cabaran yang kami terima adalah peletakan jawatan ahli Puteri. Jadi, kami sedang melipat gandakan usaha merekrut ahli baru.

Apakah usaha yang sedang atau telah dilakukan oleh Puteri untuk memastikan BN akan menang pada PRU14?

Secara jujur, saya tidak tahu bila PRU14. Sebagai Ketua Puteri, saya perlu memastikan sayap saya dalam keadaan siap siaga, sama ada dari segi mental, mahupun fizikal untuk berdepan PRU14. Saya baru selesai bertemu ahli Puteri di cawangan seluruh negara, bermula di Kedah dan berakhir Sabtu lalu di Terengganu.

Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua ahli Umno yang memberi kerjasama di sepanjang program pertemuan itu. Saya anggap program ini penting untuk kepimpinan Puteri menerangkan gerak kerja dan hala tuju Puteri kepada ahli akar umbi Puteri ketika PRU14.  Kami diberi tanggungjawab memperkasakan bahagian media sosial, pusat panggilan dan JR Plus (Jalinan Rakyat Plus) Umno.

JR Plus adalah satu perkara baru yang diperkenalkan oleh Umno, dengan semua sayap dalam Umno dapat melakukan tugas secara bersepadu dan ini cukup cantik sekali. JR Plus adalah nadi untuk kita mengetahui penerimaan dan sokongan rakyat terhadap kita.

Selain itu, kita telah membuat beberapa siri latihan kepada ahli untuk memastikan mereka bersedia menghadapi PRU dan buat tugas untuk parti sepenuh hati dan  penuh tanggungjawab.

Kita juga sedang melakukan sesi mendekatkan (engagement) dengan pengundi muda dan tidak ambil mudah pengundi dalam kalangan kumpulan ini. Saya telah minta ahli Puteri cawangan terus mendekatkan diri dengan pengundi muda. Dalam Puteri, kita ada beberapa kluster untuk kita dekat dengan pengundi, daripada golongan swasta sehingga pelajar.

Dengan ini, kita boleh dengar isi hati setiap golongan. Pada masa sama, kita juga  boleh menerangkan polisi yang  dibuat kerajaan kepada mereka. Segelintir mereka tidak tahu polisi baharu yang diperkenalkan kerajaan. Selain itu, Puteri dapat mengambil kesempatan menerangkan beberapa isu yang berlaku, yang diledak oleh beberapa pihak melalui media sosial.

Ada maklumat di media sosial tidak betul dan ada yang mengatakan kerajaan yang dipimpin BN tidak prihatin terhadap masalah rakyat. Hal ini tidak betul sama sekali dan ini jadi tanggungjawab setiap ahli Puteri menerangkan perkara sebenar.

Berapa peratus persediaan Puteri untuk menghadapi PRU14?

Secara jujur, kita hanya bersedia 55 peratus untuk menghadapi PRU14. Saya perlu jujur dalam hal ini, kerana banyak perkara yang perlu kita lakukan bagi menghadapi PRU14.

Contoh seperti dalam gerak kerja JR Plus, seseorang ahli perlu jaga 30 orang awam di kawasannya. Sekiranya mereka dapat bantu 30 orang ini, mereka telah berjaya menyiapkan tugas mereka.

Tetapi, sekiranya mereka tidak selesai lagi menolong semua individu di bawah naungan mereka, mereka dianggap tidak menyelesaikan tugas. Apa pun, saya puji dan berterima kasih kepada semua ahli Puteri atas komitmen diberikan.

Ada yang baru sahaja jadi ahli tetapi mereka telah menunjukkan komitmen sangat bagus membantu orang awam. Saya harus beri pujian kepada mereka. Saya minta semua kepimpinan Puteri melakukan tugas mereka dengan lebih gigih dan terperinci bagi menghadapi PRU14.

Selain semenanjung, adakah Datuk telah ke Sabah untuk melihat gerak kerja Puteri di sana?

Saya telah ke Sabah dua kali untuk program di bawah Puteri. Kunjungan pertama saya ke sana adalah ke Zon 1, 2, 3 dan 4 bahagian Umno. Kunjungan kedua ke Zon 5 dan 6. Malah, Puteri Sabah antara Puteri paling awal yang melancarkan jentera gerak kerja PRU14. Terima kasih kepada semua ahli Puteri Sabah atas komitmen ditunjukkan.

*** DAPATKAN LAPORAN PENUH DI AKHBAR SINAR HARIAN HARI INI.