BAIK di darat, laut mahupun udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak pernah jemu  memberi khidmat bakti dalam operasi menyelamat.

Umum sudah mengetahui, bomba dan kebakaran saling berkait rapat, namun tugas yang digalas mereka sebenarnya lebih daripada itu.

Bukan hanya dikenali sebagai badan penyelamat yang sedia membantu masyarakat di daratan, terdapat beberapa tugas bomba yang tidak diketahui ramai terutama Unit Udara JBPM yang ditubuhkan sejak 17 tahun lalu.

Pada masa ini, tugas dan peranan unit udara semakin mencabar menuntut tahap kemahiran lebih tinggi dan meluas.

Justeru itu, latihan dalam kursus Combat Air Rescue Medic yang diadakan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (FRAM) Perak di Tronoh selama tiga minggu, dikira sangat penting kepada 12 peserta bagi memastikan mereka sentiasa bersedia bagi menghadapi situasi sebenar.

Kesemua peserta merupakan pegawai dan anggota Pasukan Khas Udara Bomba (Paskub) dan Pasukan Pelbagai Kemahiran atau Multi Skill Team (Must Team).

Penerjunan menyelamat

Pegawai Operasi Pangkalan Udara JBPM Bertam, Faizal Izani Azizan berkata, sepanjang kursus, peserta didedahkan dengan pelbagai praktikal dan teori dalam memperkasakan pasukan itu.

Menurutnya, peserta akan menjalani beberapa latihan praktikal di darat dan di air seperti Abseiling dan Fast Roping di darat melalui pesawat udara selain prosedur Hover Jump dan Water Fast Roping di air menggunakan tiga helikopter iaitu Mi-17, Agusta AW139 serta pesawat ringan A109E.

“Menjalani latihan mahupun secara realiti, faktor keselamatan perlu ditekankan dan ini yang kita titik beratkan sebelum bermulanya latihan lagi. Dalam penerjunan, ikatan pada tali perlu sempurna begitu juga dengan keadaan pesawat.

“Sebarang kecuaian akan menimbulkan kelalaian memungkinkan risiko besar berlaku,” katanya.

Beliau berkata, sebagai satu komponen utama unit udara bomba, Paskub dan Must Team wajib mahir melaksanakan tugas menaikkan mangsa menggunakan kaedah winching iaitu turun daripada helikopter ke kawasan berisiko dengan tali.

Katanya, pengendalian situasi seumpama itu bukan hanya bergantung kepada kemahiran, tetapi fokus dalam mengawal tindakan khususnya ketika berdepan keadaan tidak terjangka.

“Keadaan cuaca, jarak penampakan serta risiko kegagalan enjin antara yang kita perlu hadapi, namun ia boleh dikawal dengan latihan berterusan berikutan bidang ini merupakan zero defect,” katanya.

Faizal Izani berkata, pelaksanaan kursus Combat Air Rescue Medic mampu meningkatkan tahap kompitensi penyelamat ketika menjalankan operasi.

Jelasnya, untuk jadikan petugas kompiten, latihan sebegitu yang perlu kerap dilakukan bagi menjadikan pasukan petugas lebih cekap dalam menjalankan tugas penyelamatan.

“Jika kita tidak lakukan sekarang, mungkin suatu ketika apabila diperlukan, mereka tidak bersedia dan berlaku kelalaian, kerana itu Paskub dan Must Team diwajibkan menjalani latihan ala ketenteraan bagi memantapkan pasukan ketika menghadapi bencana,” katanya.

Khidmat unit udara

Komander Paskub Bertam, Zulkifli Mohd Said berkata, penubuhan pasukan itu selama ini melancarkan lagi operasi mencari dan menyelamat dengan menggunakan pesawat antaranya, pemindahan perubatan (Medical Evacuation-Medevac) di kawasan pedalaman.

“Sebaik menerima laporan kecemasan, penerbangan Medevec memerlukan persediaan lengkap termasuk keadaan pesawat, cuaca, masa, jarak, lokasi dan kapasiti,” katanya.

Antara operasi yang pernah dilakukan adalah membawa keluar mayat wanita yang dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami pendarahan dalaman akibat terjatuh dalam gaung di Bukit Tabur, Kuala Lumpur.

Terbaharu, membawa pulang seorang pendaki Gunung Geras, Gerik yang dilaporkan hilang sebelum ditemui di Pos Belantin, Gua Musang bagi mendapatkan rawatan di Hospital Gerik.

Beliau berkata, kemampuan jentera memainkan peranan dalam operasi, seperti helikopter Mi-17 yang berkeupayaan melaksanakan kerja mengawal kebakaran melalui udara.

“Pesawat ini juga sesuai untuk menghantar bantuan logistik kepada pasukan penyelamat yang melaksanakan tugas memadam kebakaran di hutan selain digunakan bagi melakukan water bombing,” katanya.

Zulkifli berkata, tambahan penerimaan AW139 dan A109 turut melengkapkan operasi JBPM pada Mei 2003 dengan menyediakan perkhidmatan rawatan kecemasan termasuk membawa anggota paramedik ke tempat kejadian dalam tempoh singkat.

“Berbanding Mi-17, saiz AW139 yang lebih kecil memudahkan pendaratan dilakukan di kawasan helipad hospital sekiranya mangsa perlu dibawa ke hospital yang terletak di bandar raya sesak,” katanya.

Kesemua 12 peserta berjaya menamatkan kursus dengan majlis penutupan disempurnakan oleh Penolong Ketua Pengarah (Bahagian Udara), Mohd Yunos Abu Hassan.

Guna sumber alam

Mohd Yunos berkata, mereka yang menyertai Kursus Combat Air Rescue Medic ini mempunyai kelebihan lebih tinggi berbanding kemahiran pertolongan cemas sedia ada pada setiap anggota.

Menurutnya, meskipun tanpa bekalan perubatan yang mencukupi, mereka masih berupaya menggunakan sumber alam bagi memberikan rawatan awal kepada mangsa.

“Contoh jika ada mangsa alami patah tangan, mereka ada kemahiran untuk gunakan akar, kayu atau rotan dijadikan anduh, begitu juga dengan kes-kes lain.  

“Itu kelebihan mereka yang menyertai kursus ini, secara tidak langsung, kita sebenarnya melahirkan pegawai dan anggota Must Team yang boleh bekerja berdasarkan kreativiti yang digabungkan bersama kemahiran tinggi dimiliki,” katanya.

Beliau berkata, penempatan anggota Must Team kini menyeluruh ke 14 negeri seluruh negara dengan purata 30 anggota setiap negeri.

Usia bukan halangan

Peserta kursus, Hasrul Rizal Ghazali, 39, membuktikan usia bukan halangan untuk dirinya menjadi sebahagian dalam Paskub.

Berada 18 tahun dalam JBPM, Hasrul mula diserap dalam pasukan berkenaan, sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, penempatannya dalam pasukan itu memberi ruang untuk dirinya berkhidmat kepada masyarakat dalam perspektif yang berbeza.

Seperti perkhidmatan pemindahan perubatan di kawasan pedalaman masyarakat Orang Asli, selain ketelitian, ketangkasan dan fokus yang tinggi amat diperlukan.

“Apabila berdepan dengan pesakit kritikal yang memerlukan rawatan segera, itu saat paling getir yang perlu dihadapi seorang anggota.

“Walaupun tugasnya mencabar, tetapi bagi saya ia berbaloi,” katanya.

Sebagai anggota dianggap berusia dalam pasukan itu, Hasrul yang merupakan anak jati Sungai Petani, Kedah sentiasa mengutamakan staminanya berada pada tahap diperlukan.

“Selain aktiviti harian, setiap enam bulan kita ada latihan kecergasan, meskipun mempunyai tahap-tahap berbeza mengikut peringkat umur, namun keupayaan diperlukan untuk melakukan aktiviti itu, tetap sama,” katanya.

Smoke Jumper: Ops khas kebakaran di hutan

Melaksanakan operasi kebombaan melalui udara secara strategik, cepat serta berkesan sudah menjadi sebahagian misi udara JBPM.

Melalui pasukan payung terjun atau dikenali Smoke Jumper, usaha jabatan untuk mempertingkat kemampuan dalam menangani isu kebakaran hutan dapat diperkembangkan.

Lebih membanggakan, JBPM merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang memiliki kepakaran Smoke Jumper, setanding dengan negara maju lain seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Britain.

Pegawai Latihan Pasukan Khas Pangkalan Udara Subang, Saiful Rizan Sulaiman berkata, unit yang diperkenalkan pada 2001 itu pada mulanya hanya melibatkan latihan lapan anggota sebagai kumpulan perintis.

Menurutnya, melihat kepada kejayaan latihan yang dibuat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Kelantan, siri latihan penerjunan terus diperkukuh dari tahun ke tahun.

“Dalam latihan kumpulan perintis ini, mereka menggunakan payung statik (bulat) iaitu payung sama digunakan Pasukan Khas Udara (Paskau), kemudian jabatan mula memperkenalkan Kursus Asas Payung Terjun Statik Ram Air pada 2007.

“Hanya pada 2009, Smoke Jumper ini mula diperkenal dan diperluas ke seluruh negeri. Hingga kini, sebanyak 499 anggota bomba termasuk 15 daripadanya wanita telah pun menjalani latihan berkenaan dan ditempatkan di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Setiap anggota unit berkenaan menjalani kursus yang memerlukan mereka lulus dalam penerjunan sebanyak 12 kali sebelum layak mendapat sayap asas.

Ia diikuti dengan latihan pengukuhan yang dilakukan secara berperingkat sebelum dibolehkan menyertai misi menyelamat kebakaran di hutan.

Saiful Rizan berkata, Smoke Jumper yang kini dilatih sebagai pasukan elit dalam JBPM memerlukan latihan taktikal yang jitu terutama dari segi ketepatan koordinat penerjunan.

Justeru katanya, meskipun belum terlibat dalam mana-mana operasi kebakaran di hutan, latihan tetap di Lapangan Terbang Tekah, Kamunting dilakukan dengan fokus kepada ketepatan penerjunan.

“Tugas utama unit ini adalah menyekat kebakaran hutan dari terus merebak, daripada semua anggota terlatih kita ada, hampir 70 peratus daripadanya merupakan mereka yang layak menyertai operasi,” katanya.