J-KOM wadah komunikasi strategik kerajaan, komuniti

MUKADIMAH
Dalam menyebarkan maklumat berhubung dasar kerajaan, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) memegang tiga teras utama iaitu Taat Setia, Madani Bekerja dan J-KOM Bersama Rakyat. Ikuti penjelasan lanjut Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop mengenai jabatan tersebut yang menjadi wadah komunikasi strategik kerajaan dan komuniti.
Ramai pihak yang mungkin masih belum mengenali J-KOM. Boleh Datuk berikan latar belakang J-KOM?
Bermula 10 Mac 2020, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) 2.0 diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan pada 25 November 2020 dijenamakan semula kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).
Pada 19 Mei 2021, J-KOM dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang bertujuan agar pelaksanaan pelan komunikasi strategik serta pemantauannya dapat diselaraskan dengan lebih cekap dan berkesan.
Bagaimanapun, bermula pada 13 Disember 2023, J-KOM dipindahkan semula ke Kementerian Komunikasi (KK) susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bagi memperkukuh peranan komunikasi kerajaan dan meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat kepada masyarakat.
Penubuhan J-KOM selaras dengan usaha kerajaan dalam memperkukuhkan keberkesanan komunikasi strategik dan pengurusan naratif dalam menyampaikan dasar, program serta inisiatif kerajaan kepada rakyat.

J-KOM kini memegang tiga teras utama iaitu Taat Setia, Madani Bekerja dan J-KOM Bersama Rakyat. Semua program atau aktiviti jabatan perlu mengambil kira tiga teras utama ini.
Melihat kepada situasi ini, masih ramai yang berpandangan J-KOM adalah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA). Apakah komen Datuk berhubung situasi ini?
Situasi ini sebenarnya cabaran utama J-KOM sejak awal penubuhannya pada Mac 2020, iaitu J-KOM dibayangi JASA. Seperti yang telah disebut pada awal penubuhan semula, fungsi J-KOM dan JASA amat berbeza dan amat penting untuk tidak melihat J-KOM dari lensa politik yang lama.
Pelantikan pegawai melalui proses pelantikan yang dilaksanakan dalam Kerajaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang mana merupakan pihak berkuasa melantik bagi melantik pegawai-pegawai awam di peringkat Persekutuan. Maka pegawai-pegawai ini adalah pegawai awam yang tertakluk kepada peraturan semasa pegawai awam.
J-KOM membawa visi yang besar iaitu sebagai peneraju komunikasi sosiopolitik yang inklusif dan efektif melalui misi untuk memperkasakan komuniti dalam mempengaruhi dan mengukuhkan proses politik melalui komunikasi.
Tumpuan J-KOM kini ialah kepada memperkasakan komuniti melalui komunikasi yang strategik dan bukan berpaksikan politik kepartian.
Jika dilihat semula, Datuk diamanahkan untuk mengetuai J-KOM pada 16 Januari 2025. Apakah perbezaannya J-KOM ketika itu dengan sekarang, selepas hampir sembilan bulan?
Alhamdulillah, amanah yang diberikan ini saya terima seadanya. Saya sedar fungsi J-KOM amat besar dan kadangkala melangkaui jangkauan sebenar pihak-pihak luar walaupun ramai yang tidak tahu, struktur J-KOM mungkin tidak ideal bagi sebuah jabatan komunikasi.
Tidak dinafikan, bagi memastikan misi dan visi jabatan dicapai, pastinya banyak cabaran yang perlu ditangani. J-KOM sedang giat melaksanakan pelan strategik yang memacu komunikasi akar umbi secara efektif dan bersepadu.
Sepanjang saya bertugas ini, saya bersyukur dengan komitmen pegawai dan kakitangan yang kompeten serta banyak dibantu oleh kedua-dua Timbalan Ketua Pengarah yang mengurus organisasi.
J-KOM sebenarnya masih terlalu baharu untuk dinilai kerana dari segi struktur, jabatan ini hanya beroperasi di ibu pejabat dan enam zon, dan bukanlah di semua negeri. Keupayaan pegawai di lapangan juga agak mencabar dengan kapasiti yang sedia ada.
Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dan berharap agar struktur diperkemaskan lagi bagi memastikan jabatan ini bergerak dengan lebih baik demi membantu kerajaan khususnya komunikasi di akar umbi.
Apakah usaha-usaha yang dilakukan dalam memastikan J-KOM lebih efektif?
J-KOM mengutamakan pendekatan yang kolaboratif berteraskan whole-of-government approach, seiring dengan aspirasi Kerajaan Madani. Fokus bukan sahaja kepada penyampaian maklumat, tetapi juga pengumpulan persepsi dan cadangan rakyat untuk memperkasa dasar kerajaan dari bawah ke atas.
J-KOM amat berterima kasih dan menghargai kerjasama yang diberikan daripada kementerian, jabatan dan agensi komunikasi strategik di peringkat Persekutuan dan malah di negeri dalam menggerakkan program terutamanya yang memfokuskan komuniti.
J-KOM membawa misi besar untuk membina ekosistem komunikasi yang lebih inklusif, efektif dan responsif. Dengan sokongan semua pihak serta kerjasama antara agensi, jabatan ini komited memainkan peranannya sebagai wadah komunikasi kerajaan yang dipercayai dan dekat di hati rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
