• Ibrahim Ali... "Kenapa saya dan Perkasa jadi fokus?". Ibrahim Ali... "Kenapa saya dan Perkasa jadi fokus?".
1 /

PERKASA, antara pertubuhan bukan kerajaan yang muncul selepas Pilihan Raya Umum 2008. Walaupun sifatnya lebih kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan, tetapi ia banyak dikaitkan dengan arah aliran politik negara ini.

Ketika ia berusia empat tahun, ahlinya dianggarkan sekitar 300,000 orang di seluruh negara. Menjelang Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) di Kuala Lumpur esok, Datuk Ibrahim Ali selaku pengasas dan presidennya berkongsi perjalanan badan pembela hak dan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengakui bahawa di sebalik kejayaan membawa pertubuhan ini, beliau dan Perkasa juga dilabel sebagai "rasis". Bagaimanapun beliau menafikan tanggapan dan label negatif ini.

"Kenapa saya dan Perkasa jadi fokus?" kata Ibrahim yang pernah berada dalam Umno dan pernah menjadi timbalan menteri.

Tegas beliau, pihaknya hanya bergerak mengikut lunas perundangan dan mempertahankan hak-hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Ikuti temu bual bersama G MANIMARAN dan NIZAM ZAIN yang diadakan di pejabatnya di ibu negara baru-baru ini.


SINAR HARIAN ONLINE: Selepas hampir empat tahun ditubuhkan, apakah perkembangan Perkasa menjelang perhimpunan agung tahun 15 Disember ini?

IBRAHIM ALI:
Kita nak buat persidangan kali ketiga, sebenarnya Perkasa dah masuk empat tahun, didaftarkan pada September 2009, jadi mesyuarat yang pertama ialah 2010, kedua 2011 dan ketiga 2012, mesyuarat pertama dirasmikan oleh (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad, yang juga penaung Perkasa), kedua oleh (bekas Ketua Polis Negara) Tan Sri Rahim Nor dan kali ini yang ketiga pula akan dirasmikan oleh (Mufti Perak) Tan Sri Harussani Zakaria, kita pilih tokoh agama, kebetulan pula tahun ini banyak isu berkenaan agama, seperti isu berkaitan dengan murtad.

Dalam masa yang sama kita memberikannya anugerah Bintang Pribumi Perkasa Negara dan beliau adalah tokoh ketiga terima anugerah daripada Perkasa. Kali pertama kita beri kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai tokoh politik, kedua Tan Sri Rahim Nor sebagai tokoh keselamatan dan ketiga Tan Sri Harussani sebagai tokoh agama.

Bersempena dengan perhimpunan agung kali ketiga ini, kita akan buat Perhimpunan Pribumi Perkasa Negara sempena Persidangan Agung Pribumi Perkasa Kali Ketiga pada 15 Disember 2012, jam 8.45 pagi di Astaka, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Persidangan Agung Pribumi Perkasa pula kita akan adakan pada jam 2 petang di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Saya sendiri begitu teruja, bersyukur dan gembira sebab dalam tempoh tiga tahun setengah Perkasa sudah menjadi sebuah pertubuhan yang begitu berstruktur, dalam tempoh yang singkat di mana wujud Majlis Pimpinan Negeri Perkasa di seluruh negara di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan, semua 14 negeri, kemudian kita ada 115 Jawatankuasa Peringkat Daerah Perkasa.

Mengikut Perlembagaan Perkasa, kita hanya tubuhkan cawangan menerusi daerah bukan mengikut kawasan Parlimen, kalau ikut bahagian Parlimen besar sangat, 222 kawasan di Malaysia, di sesetengah daerah merangkumi satu, dua dan ada juga tiga parlimen, Perkasa mempunyai 115 daerah saja.

Kita juga ada jawatankuasa di peringkat negeri daripada 115 daerah secara purata kita mempunyai 30 hingga 35 ahli jawatankuasa di seluruh negeri yang berjumlah 3,450 orang, inilah yang kita panggil, rangkaian Perkasa.

Di peringkat pusat, kita mempunyai Ahli Dewan Tertinggi (ADT) yang terdiri daripada 25 adalah Wiranita (wanita), 25 Wira (Pemuda), 25 Wirawati (Pemudi), jika dicampur di peringkat pusat jumlah keseluruhan ialah 4,000 orang.

Inilah dipanggil rangkaian Perkasa, buat masa sekarang saya rasa tiada lagi NGO yang memiliki jenis sturktur sebegini. Kita adalah satu-satunya NGO yang tahun lepas dan tahun ini, ada mesyuarat daerah dan negeri (pusat), saya bukan memperkecilkan lain-lain NGO, tapi adakah kita pernah melihat mana-mana NGO yang mempunyai mesyuarat sebegini?

Saya rasa tiada, dan pemantau masa mesyuarat daerah, secara purata 100 hingga 300 orang yang hadir, di peringkat negeri pula berdasarkan kepada perwakilan, iaitu 50 perwakilan satu daerah, katakanlah Kelantan ada 10 daerah, kita ada 500 orang perwakilan, tapi di peringkat daerah, tiada had, siapa saja ahli, mereka boleh hadir dan ambil bahagian dalam mesyuarat.

Walaupun Perkasa ini sebuah NGO, kita tak bagi apa pun... ahli kena beri sumbangan, mereka kena berkorban, sudah sampai ke peringkat sekarang ini sudah mula ada berebut jawatan, ada yang jadi nak jadi pengerusi daerah, ada yang dah mula berebut jawatan, termasuk Yang Dipertua Negeri, walaupun kita tak ada apa-apa untuk beri, tapi kita sangat bernasib baik masa kita tubuhkan perlembagaan Perkasa, kita ambil kira masalah dalam parti politik, di mana bila ada pemilihan di peringkat bahagian, cawangan yang dipanggil demokrasi, tapi kita tengok banyak kecoh.

Berbanding Perkasa, kita tak ada pemilihan di peringkat daerah dan negeri, jadi Presiden dengan persetujuan ADT Perkasa... contohnya, kalau saya nak lantik YDP Perkasa Kelantan, Fauzi Mohamad, jadi ADT akan sahkan pelantikannya, kemudian beliau bebas melantik jawatankuasa peringkat negeri, kemudian beliau yang juga YDP ini pula ada hak untuk melantik pengerusi-pengerusi daerah, kemudian pengerusi daerah pula ada hak untuk melantik ahli jawatankuasanya.

Jadi tiada pemilihan, cuma ada mesyuarat di peringkat daerah dan negeri untuk menyokong aktiviti dan kegiatan tapi tiada pemilihan.

Pemilihan hanya ada di peringkat pusat, setiap tiga tahun sekali yang mana akan berakhir tempohnya tahun depan. Bermakna, negeri dan daerah tiada pemilihan. Hanya lantikan.
Di peringkat pusat, Wira dan Wirawati pun tiada pemilihan, kita tak macam Umno, Ketua Wira dan Ketua Wirawati dilantik oleh Presiden, sama juga setiausaha agung, ketua penerangan dan lain-lain, sayap Perkara mereka kena bentuk jawatakuasa sendiri, demokrasi dari konteks pemilihan hanya di peringkat pusat saja, di peringkat negeri dan daerah tiada pemilihan tidak bererti kita tidak berdemokrasi.


Perlembagaan kita dibuat dengan sokongan perhimpunan agung, kita bukan parti politik. Oleh itu, kita mengamalkan demokrasi yang saya panggil ‘demokrasi terpimpin’ yang banyak memberi faedah dan manfaat.

Bayangkan jika ada pemilihan di peringkat daerah dan negeri, nanti masa habis pada hal ini saja, bergaduh sesama sendiri, berebut jawatan, jadi aktiviti banyak terbantut, sejak tak timbul perebutan jawatan, jadi mereka boleh fokus kepada aktiviti.
 

SINAR HARIAN ONLINE: Nampaknya, Datuklah Perkasa, Perkasalah Datuk. Seolah-olah Perkasa bergerak kerana kepimpinan Datuk semata-mata. Oleh kerana Datuk yang mengasaskan Perkasa, adakah pertubuhan ini akan terus berkembang dan bergerak seperti biasa jika Datuk tidak lagi memimpin Perkasa?/

IBRAHIM AL
I: Memang betul saya yang memimpin Perkasa dan saya juga yang mengasaskannya. Mungkin akan timbul persoalan selepas saya bagaimana, dan apa akan jadi? Ini soalan? Saya tengok, dalam Perkasa sekarang ini, ADT-ADT yang ada, yang jadi Naib Presiden adalah orang-orang yang berkaliber.

Jadi, saya tidak melihat sebarang masalah untuk menjayakan pertubuhan ini. Sebab mereka dah mula memahami. Selepas bersama, selepas empat tahun, dan saya adalah pengasas dan saya dah memimpin mereka dan mereka juga dah melalui pahit getir bersama saya, jadi mereka dah memahami.

Jadi sekarang ini, soal menggantikan tempat saya tidak ada masalah, sebagai contoh Naib Presiden, kita ada Datuk Zulkifli Noordin dan Dr Zubir Harun, kemudian dalam ADT Perkasa, kita ada tiga orang jeneral yang telah bersara, namun mereka masih aktif seperti Datuk Salleh Ismail, beliau adalah bekas perisikan Angkatan Tentera DiRaja Malaysia (ATM); kemudian Laksamana Madya Datuk Mohd Radi dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Brig Jeneral (B) Datuk Sujak Bon, dulunya Tentera Udara Diraja Malaysia.

Ahli kita juga terdiri daripada lapan orang peguam kanan yang juga menganggotai Majlis Tertinggi Perkasa, selain empat ke lima ahli akademik seperti Prof Dr Asah Rojidi, Dr Zubir Harun, Prof Dr Halim, Datin Paduka Prof Dr Ramlah Adam.

Ahli Perkasa terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ini yang agak menarik di mana sesetengah orang tidak melihat secara mendalam dan terperinci tentang Perkasa, yang orang tengok pada Perkasa kumpulan tertentu sampai melabelkan kami bersifat perkauman, tapi mereka tak tahu yang memimpin Perkasa adalah individu berkualiti termasuklah pengerusi negeri, mereka adalah orang yang berpengalaman dan mempunyai rekod prestasi yang baik dengan kebijaksanaan.


Kalau saya ini rasis...?

SINAR HARIAN ONLINE: Perkasa dan Datuk sering menonjolkan dalam memperjuangkan hak keistimewaan Melayu/ Bumiputera dan agama Islam, malah hampir sama seperti yang diperjuangkan Umno. Seolah-olah Perkasa ambil alih peranan kerajaan?

IBRAHIM ALI:
Kalau saya ini rasis, kita atau saya yang rasis, pertama pemimpin sejak 1986, saya pernah memegang jawatan timbalan menteri, pernahkan saya dituduh rasis? Kedua sepanjang saya memimpin Perkasa, orang tuduh rasis dan macam-macam lagi, saya tidak pernah menerima laporan polis terhadap saya, orang lain yang tidak kata rasis, mereka menerima banyak laporan polis, saya tak ada.


SINAR HARIAN ONLINE: Jadi, Datuk menegaskan Perkasa bukan NGO membawa unsur rasis?

IBRAHIM ALI:
Bila mereka kata kita rasis, sebenarnya ada orang putar cerita, orang cemari imej kita, kenapa mereka cemari imej kita? Saya perjuangkan agenda Melayu dan agenda Bumiputera, mengikut Perlembagaan, saya mempertahankan asas Perlembagaan dan Perkara 153 hak keistimewaan orang Melayu, ada pihak menuntut pada sesuatu perkara yang pada pandangan saya secara tidak langsung bertentangan dengan Perlembagaan, atau tuntutan yang bertentangan dengan dasar-dasar nasional.


Sebagai contoh bila Dong Zong tuntut macam-macam hal pendidikan, kita hanya tekankan kerajaan kena tegas, sebab ada tuntutan-tuntutan itu bertentangan dengan perlembagaan, begitu juga Hindraf sebelum ini mereka buat memorandum, mereka tuntut macam-macam, mereka burukkan nama negara, jadi kita kritik Hindraf mengapa mereka patut buat demikian, kenapa mereka perlu ke luar negara dan burukkan nama negara, jadi ini akhirnya mereka kata kita (Perkasa) rasis.

Tidak pernah dalam sejarah sejak saya tubuhkan Perkasa, pernahkah saya mengeluarkan kenyataan yang menyuruh jangan bantu orang India, jangan bantu orang Cina? Malah saya tidak pernah kata tutup sekolah Cina dan Tamil, cuma adalah, bila sekolah Cina minta itu dan ini, minta pengiktirafan UEC (Unified Examination Certificate), perkara-perkara macam ini kita beri teguran kepada kerajaan supaya buat dengan betul, jangan bertentangan dengan semangat Perlembagaan negara.

Dalam mempertahankan Perlembagaan negara, bukan saja kita pertahankan Islam  sebagai agama persekutuan, Bahasa Melayu bahasa Kebangsaan, kedaulatan Raja Melayu, hak Melayu termasuk hak kerakyatan, siapa saja persoalkan hak kerakyatan kita tentang mereka, pasal kita inklusif, kita mempertahankan kontrak sosial dalam Perkara 153 termasuk kerakyatan, malah sekarang pun kalau orang India layak dapat kerakyatan, sebab ramai orang India bising kerana soal kerakyatan, kita tidak tentang, kalau kita rasis, kita akan tentang, cuma kalau kita nak tegur kerajaan, lakukan dengan betul, maknanya, orang yang layak saja boleh terima kerakyatan, kalau dia baru datang Malaysia satu atau dua tahun, mereka tak boleh dapat kerakyatan, tetapi kita tidak menentang supaya tidak beri kerakyatan ini, di mana yang dikatakan saya atau Perkasa rasis?

Tetapi ia menjadi buruk daripada rasis ialah kerana Perkasa telah dilabel oleh surat khabar Cina, termasuk terus memutar belitkan isu pemberian angpau bersampul putih kerana kita buat dengan ikhlas tapi isu ini dibesarkan oleh MalaysiaKini dan mereka lakukan itu kerana sebab politik sebab mereka tengok pendirian Perkasa sebagai NGO tidak dengan pembangkang. Mereka ‘all out’ untuk merosakkan imej kami dengan mengatakan Perkasa bersikap perkauman.

Kenapa saya dan Perkasa jadi fokus? Bila isu lompat parti dan kata saya tukar parti, padahal ramai lagi yang tukar parti, macam Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dulu Umno, kemudian Pas, balik semula kepada Umno, lepas itu Pas, dah terakhir PKR, lagi banyak kali lompat daripada saya, kenapa mereka tak sebut dia katak?

Begitu juga di Sabah, ramai juga lompat parti, di Kuala Lumpur kita ada Marina Yusof, yang baru-baru ini pun ramai lompat parti juga, tapi kenapa bila sebut lompat parti itu Ibrahim Ali! Sampailah kata saya rasis begitu begini bukan saja dimainkan oleh surat khabar Cina, MalaysiaKini dan portal-portal pembangkang yang lain tetapi juga segelintir orang Melayu yang kononnya liberal, kemudian ada orang 'chatting' cakap Perkasa ini Ibrahim Ali dia ini rasis, ada juga yang cop saya ini kerana dia ada agenda sendiri, saja tak suka tengok kegiatan yang dibuat oleh Ibrahim Ali, mereka cemburu, sepanjang masa apa yang saya buat saya jadi mangsa cemburu.


SINAR HARIAN ONLINE: Datuk bangga dengan pencapaian Perkasa sepanjang empat tahun lalu?

IBRAHIM ALI:
Tengoklah dalam masa empat tahun saya boleh pimpin Perkasa, sudah tentu saya berada bangga, siapa yang boleh buat apa yang saya buat?
Kita bukan rasis dan bukan juga Islamik ektremis, kalau Islamik ektremis Pas lagi ekstremis dari Perkasa.

Sebagai orang Islam, kita tidak boleh terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi atau bertentangan dengan ajaran Islam, saya orang Melayu tak boleh memiliki permit lesen jual nombor ekor, berapa banyak premis ini, saya juga tak boleh milik permit jual arak dan sebagai orang Islam saya tak boleh minta lesen untuk pusat hiburan seperti karaoke, rumah urut, spa dan sebagainya.

Semua perniagaan ini dimiliki oleh bukan Bumiputera, khususnya orang Cina, adakah Perkasa tentang suruh tutup? Kalau kita tentang suruh tutup pun yang haram, tapi yang sudah berlesen, hormati hak bukan Bumiputera, adakah kita tahu berapa banyak wang yang melibatkan aktiviti ini? Duit ini yang berlegar antara bukan Bumiputera ini bernilai bebilion ringgit.

Bagaimana orang Melayu yang bersaing dari segi ekonomi? Kerana orang bukan Melayu khususnya orang Cina menguasai bidang ini. Apa nak dikata bila kita bising dan persoalkan di mana hak Bumiputera? K

ecuali kita turun ke padang dan minta kerajaan untuk tutup semua ini. Tapi kita tak buat, ‘money spinning’ untuk orang Melayu mana ada! Melainkan zakat dan baitulmal, itu saja, jadi kita harap pada kerajaan. Kenapa kita minta kerajaan penuhi tuntutan ini ialah untuk jangka masa panjang.

Hari ini Cina nampak OK, Cina pun tak cukup lagi, bagi betis nak peha, mereka nak lebih, sekarang mereka dah menguasai 40 peratus ekonomi negara ini, sekarang mereka nak kuasa politik pula, tapi apa akan jadi lepas 25 tahun akan datang? Sekarang ini ok, tapi esok bila kuasa mereka dah melebar, masa itu akan mengancam keselamatan negara, peristiwa 13 Mei akan kembali.


SINAR HARIAN ONLINE: Sebelum tertubuhnya Perkasa, kerajaan sudah lakukan apa yang Datuk perjuangkan sekarang ini untuk orang Melayu dan Islam, tetapi Perkasa ditubuhkan seolah-olah menggambarkan kerajaan gagal dalam hal-hal ini?

DATUK IBRAHIM ALI:
Bukan begitu. Kerajaan buat, patut capai matlamat 30 peratus dari 1970 hingga 1990, sekarang dah (lebih) 20 tahun (selepas tempoh itu), tapi penguasaan ekuiti 30 peratus itu tidak dapat dicapai, dulu mungkin nak capai pada tahun 1990, tapi bukan bererti selepas 1990, tercapai atau tidak mesti berhenti pada tahap itu... bukan begitu.

Kita punya pandangan dan pendirian, 20 tahun itu hanya matlamat, kalau tak capai pada 1990, ia mesti diteruskan kerana pentingnya pencapaian 30 peratus ini untuk keselamatan negara ini, dan kita perlu merujuk kembali kepada Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Orang Cina sekarang ini mereka bermain dengan sentimen politik, mereka lupa bahawa di Malaysia mereka bagaikan syurga, kalau huru-hara macam mana? Macam peristiwa 13 Mei, mereka tak boleh teruskan perniagaan, kita pun tak nak perkara itu berlaku, kita nak supaya ia mungkin 20, 30 atau 40 tahun atau 50 usaha sasaran itu mesti dicapai, sehingga hal ini berlaku keseimbangan dalam ekonomi.

* Ikuti bahagian kedua esok