TANGGAL 23 Ogos, genap 15 tahun penubuhan Universiti Selangor (Unisel) yang suatu ketika dahulu yang terkenal dengan Universiti Industri Selangor.  

Institusi ini yang beroperasi di dua kampus  di Bestari Jaya, Kuala Selangor dan kampus bandar Di Jalan Zirkon Seksyen 7, Shah Alam mula mengorak langkah dan kini setanding dengan IPTS di negara ini.

Sepanjang penubuhan universiti tersebut pelbagai kejayaan dicapai terutamanya dalam bidang penyelidikan selain dapat menghasilkan graduan berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran.

Perkara itu diakui oleh Naib Canselornya, PROFESOR DR ANUAR AHMAD ketika ditemu bual wartawan NORAWAZNI YUSOF di pejabatnya di Kampus Bandar di Seksyen 7.

Sejak Unisel ditubuhkan, berapa ramai penuntut yang telah menimba ilmu di universiti ini?

DR ANUAR: Unisel ditubuhkan 23 Ogos 1999 dan penubuhan Unisel seiring dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan Selangor sebagai hub pendidikan serantau yang terunggul dan memainkan peranan untuk meningkatkan modal insan cemerlang. Sebagai sebuah IPTS ketujuh di Malaysia, Unisel memiliki keunikan tersendiri kerana ia sebuah universiti milik kerajaan negeri yang pertama di negara ini.

Pada akhir tahun 2011, sebanyak 89 program pengajian meliputi hampir kesemua aspek disiplin keilmuan diperkenalkan. Semua program tersebut telah mendapat akreditasi dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan pengiktirafan badan profesional yang berkaitan.

Perkembangan Unisel  juga dapat dilihat dari fizikal kampusnya yang di sasar akan menjadi salah sebuah kampus termoden di Asia Tenggara. Sejak penubuhannya hampir 12,000 graduan telah dihasilkan di Unisel.

Kalau kita melihat kemasukan baru iaitu pengambilan Januari sehingga Ogos hampir 3,300 penuntut telah berdaftar di sini.

Apa program yang telah diatur sepanjang tahun ini?

DR ANUAR: Banyak perkara yang kita atur sempena 2015 bermula daripada aktiviti-aktiviti antaranya Unisel dipilih sebagai universiti pertama di Asia oleh Amerika Asia-Bangsa Bersatu dan Pusat Latihan Pasifik ICT Pembangunan.

Antara program yang berjaya dianjurkan di peringkat antarabangsa adalah persidangan yang diadakan dengan kerjasama Aidcom yang berlangsung di Concorde Hotel, di sini mengenai pembelajaran dan ICTD dalam Kurikulum Universiti Persidangan Antarabangsa menyaksikan penyertaan 120 peserta dan penceramah dari 23 negara di seluruh dunia.
Persidangan itu bagi menggalakkan penuntut lebih banyak terlibat dengan komuniti dan berbakti kepada masyarakat, sejajar dengan misi PBB untuk memperbaiki kemiskinan dan memberi peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak.

Terdapat 12 sesi ceramah yang dijadualkan sepanjang persidangan itu. Peserta dijemput untuk membentangkan kertas kerja dan mengadakan perbincangan semasa sesi bengkel juga.

Rancangan yang dicadangkan itu telah dikemukakan ke Kerajaan Negeri Selangor dan Unisel menyasarkan untuk memulakan program pembelajaran hibrid secepat tahun depan.
Pembelajaran hibrid melibatkan pelaksanaan sekurang-kurangnya 30 peratus aplikasi ICT dalam bilik darjah. Kami berharap kerajaan negeri akan meluluskan rancangan Unisel tidak lama lagi jadi kita boleh mula menambah baik infrastruktur ICT.

Usaha-usaha ini adalah sebahagian daripada mendedahkan pelajar kita kepada masyarakat antarabangsa supaya tidak ketinggalan.

Graduan Unisel dianugerahkan dengan darjah diiktiraf di peringkat antarabangsa dan pelan ICT kami adalah sebahagian daripada memastikan kita menegakkan standard pendidikan dengan menggunakan ia dalam kurikulum.

Unisel juga berjaya menempa nama apabila berjaya melahirkan dua pelajar terbaik bidang kejuruteraan dan perakaunan yang mendapat pengiktirafan dari Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Ini membuktikan pelajar kami mampu bersaing bersama pelajar-pelajar dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain seterusnya menangkis dakwaan bahawa graduan universiti ini tidak berkualiti.

Bagaimana dengan asrama di Kampus Bestari Jaya yang pernah diarahkan tutup pada suatu ketika dulu. Apakah ia telah boleh didiami penuntut?

DR ANUAR: Selepas pihak Unisel bertungkus lumus berusaha membaik pulih asrama itu dan alhamdulillah pada 1 Julai lalu asrama tersebut sudah boleh didiami. Jadi semua pelajar di Bestari Jaya tidak perlu berulang.

Sebelum ini mereka berada di satu kawasan yang agak jauh mengambil masa 45 minit hingga satu jam. Kita pula terpaksa sediakan bas untuk mereka dan kos pelajar sememangnya akan meningkat.

Setakat ini alhamdulillah pelajar sangat gembira kerana dapat duduk di asrama baru dan kampus Bestari Jaya suasananya lebih meriah.

Masih ramai yang tidak tahu perkara ini dan keluarga boleh menghantar anak mereka untuk belajar di situ tanpa perlu bimbang tempat penginapan mereka.

Apa kejayaan yang telah dicapai oleh Unisel sepanjang 15 tahun penubuhannya?

DR ANUAR: Unisel telah berjaya membuktikan keunggulan dan kecemerlangan institusi itu apabila berjaya melahirkan graduan berkualiti untuk pasaran pekerjaan. Kita ukur kejayaan Unisel berdasarkan kebolehpasaran pelajar kita mendapat pekerjaan.

Jika merujuk kepada kajian yang dijalankan Kementerian Pendidikan Tinggi, graduan Unisel adalah yang tertinggi dalam aspek kebolehpasaran untuk syarikat swasta di dalam negara dan antarabangsa.

Pelajar kita adalah kedua tertinggi dalam negara untuk IPTS dalam aspek kebolehpasaran untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi iaitu 76.5 peratus selepas enam bulan bekerja. Pencapaian-pencapaian itu membuktikan ramai pihak yang berkeyakinan tinggi dengan kemampuan graduan Unisel untuk bersaing di peringkat tinggi.

Pasukan rakit senior Unisel, Rack’IT pula mencatatkan sejarah apabila meraih tempat ketiga keseluruhan bagi kategori terbuka, pertandingan Rakit Rafting Festival 1Perak peringkat kebangsaan di Selama, Perak, baru-baru ini.

Dalam pertandingan mencipta dan lumba kereta, Unisel turut dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Pertandingan Educational  Innovation Of Motorsports & Automotive Race 2010 (EIMARace 2010) dianjurkan oleh Pertubuhan Pelajar-Pelajar Kejuruteraan Mekanikal (MESA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Motorsport Association on Malaysia (MAM).

Sejauh mana kajian dan penyelidikan yang dijalankan oleh Unisel setakat ini?

DR ANUAR: Setakat ini penyelidikan yang kita jalankan dilihat berjaya terutamanya penyelidikan halal hab dan kini Unisel sedang memohon untuk mendapatkan peruntukan bagi membina kilang membuat gelatin dan enzim halal.

Kita hanya ada lebih kurang tujuh peratus sahaja gelatin halal. Jadi untuk menambah gelatin halal ini kita memerlukan peruntukkan RM6 bilion. Kalau kita boleh hasilkan gelatin halal, kita akan dapat memperbanyakkan produk makanan halal. Dalam hal ini kerjasama dengan kerajaan negeri dan industri amat diperlukan bagi merealisasikan perkara ini.
Buat masa ini, 12 penyelidikan akan dijalankan oleh 12 pensyarah dalam pelbagai bidang.

Sesebuah universiti tidak boleh lari penyelidikan dan kajian oleh sebab itu saya menggalakkan pensyarah membuat kajian yang tertumpu pada industri, kementerian dan kerajaan negeri.

Ke mana hala tuju Unisel ?

DR ANUAR: Dalam usaha untuk menjadikan sebuah universiti yang unggul, Unisel telah menggariskan enam nilai iaitu perlu ada integriti, bertanggungjawab, inovasi, berkualiti tinggi, keterbukaan dan setia kawan.

Enam nilai kongsi ini warga Unisel amalkan untuk mencapai hala tuju untuk menjadikan Unisel sebuah universiti yang terkemuka di negara ini dengan menaik taraf dan meningkatkan kemudahan prasarana di Unisel seiring dengan peningkatan jumlah penuntut pada setiap tahun.

Apa harapan Prof?

DR ANUAR: Dalam usaha untuk menaikkan institusi ini, Unisel mengasarkan tahun 2016 semua pensyarahnya mempunyai kelulusan PhD dan perkara sebegini jarang dibuat oleh universiti swasta lain demi menjamin kualiti pendidikan di Unisel.