SIDANG Parlimen kali ini menampilkan ramai muka baharu termasuk Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang mewakili Pas.

Berada di blok pembangkang bukan penghalang untuk beliau membangkitkan isu-isu rakyat khususnya melibatkan orang muda. Ikuti temubual bersama beliau.

1. Sebagai ahli Parlimen muda di blok pembangkang, bagaimana YB boleh memainkan peranan untuk membawa suara anak muda khususnya didengari di sidang Dewan Rakyat?

Jika diperhatikan melalui soalan-soalan dikemukakan, tidak ketinggalan adalah isu menyentuh golongan muda.

Antaranya saya tanya mengenai prestasi pasukan badminton dalam Piala Thomas. Saya juga kemukakan soalan berkenaan orang muda yang baru bekerja, sebagai contoh isu guru duka lara. Saya angkat isu ini ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong kerana di tempat saya ada 245 kes guru duka lara.

Saya juga menyebut tentang isu pendidikan anak-anak OKU yang dialami ibu bapa muda. Juga isu penutupan Institut Pendidikan Guru di Kota Bharu dan seluruh negara yang melibatkan mahasiswa yang akan bergraduasi dalam bidang pendidikan.

Itu antara isu-isu yang saya bawa dan ia bukan saja melibatkan isu orang muda secara spesifik tetapi juga mereka yang berkerjaya dalam keadaan baru membina keluarga.

2. Sidang Dewan Rakyat kali ini menyaksikan banyak muka baharu. Adakah YB melihat kehadiran muka-muka baharu ini akan memberi nafas segar dalam persidangan?

Saya melihat ahli-ahli Parlimen baharu masih dalam proses belajar termasuk saya sendiri. Kita masih sedang memahami selok belok perbahasan di Parlimen yang merupakan cabang penting dalam Perlembagaan negara.

Saya optimis bahawa dari semasa ke semasa kita akan lebih memahami dan dapat bekerjasama antara satu sama lain.

Menariknya, dalam situasi ini kami orang muda dapat berkolaborasi antara satu sama lain walaupun di blok yang berbeza.

Misalnya kelmarin ketika saya menyebut isu OKU, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dari blok kerajaan telah mengutarakan idea tambahan.

Saya menyokong cadangan itu dan memohon dimasukkan ke dalam ucapan saya. Situasi ini jarang berlaku dalam blok yang bertentangan.

Ertinya dalam isu melibatkan orang muda dan kepentingan bersama, kita dapat letak ke tepi perbezaan sebaliknya meletakkan agenda rakyat sebagai keutamaan. Ini yang sedang dipelajari oleh ahli-ahli Parlimen muda.

3. Pas mewakili blok pembangkang dengan wakil rakyatnya seramai 18 orang. Bagaimana Pas dapat memastikan dapat menjadi suara pembangkang yang baik?

Wakil rakyat Pas bukan masuk walk in tetapi kita ada pasukan penyelidik. Kita mengadakan mesyuarat dari masa ke masa dan kursus untuk mengkaji isu yang kita bawa.

Dalam 18 orang ini sudah dibahagikan kementerian dan tugasan tertentu. Walaupun jumlah kami 18 orang, tapi kita berjaya tunjukkan pada masyarakat inilah antara kejayaan yang Pas akan bawa dan wajah yang akan dibentuk sekiranya Pas diberi peluang untuk memerintah negara satu hari nanti.

4. Memasuki minggu kedua persidangan, bagaimana YB menilai prestasi pihak kerajaan khususnya dalam menjawab soalan berbangkit di Parlimen?

Pada saya untuk memberikan penilaian secara tuntas adalah tidak adil kerana kepada kerajaan PH yang baru berusia dua bulan. Tetapi setakat ini saya melihat ada kehendak untuk beri perkhidmatan terbaik.

Ada semangat terutamanya di pihak Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalan-timbalannya dalam mengendalikan sesi persidangan dengan cukup baik. Saya beri lima bintang kepada mereka.

Mungkin komitmen jemaah menteri yang saya  nampak agak kurang berada di Parlimen termasuk ketika Perdana Menteri hadir menjawab soalan.

Sehingga isu kehadiran ini ditegur oleh Perdana Menteri tetapi prestasi mereka masih di takuk sama. Suasana sebegini sangat tidak baik untuk memberikan imej kepada rakyat bahawa  adakah jemaah menteri serius untuk berada di Parlimen.

Jika saya boleh beri rating prestasi kerajaan di Parlimen, mungkin enam daripada sepuluh. Insya-ALLAH boleh ditambah baik pada masa akan datang.